Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 sejak dari 13 Februari lalu di seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan pematuhan semua pengguna jalan raya, termasuk pengangkutan awam, kenderaan persendirian, dan kenderaan barangan, sepanjang musim perayaan.

“Sepanjang operasi yang berlangsung hingga 22 Februari ini, JPJ menekankan aspek keselamatan pengguna jalan raya melalui pematuhan pemasangan dan fungsi Speed Limitation Device (SLD). Ini bagi memastikan kenderaan perdagangan yang beroperasi mematuhi had kelajuan serta piawaian keselamatan yang ditetapkan,” kata Pengarah JPJ Negeri Selangor, Azrin Borhan.

Tambahnya, bagi mempertingkatkan lagi aspek keselamatan, pihaknya turut menggesa pemandu bas ekspres agar memastikan para penumpang memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan. “Ini bukan sahaja mematuhi undang-undang tetapi juga mengurangkan risiko kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan. Ia membabitkan kesalahan Kaedah 4 dan 4A Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (pindaan 2008) sekiranya tidak memakai tali pinggang keledar. dengan kadar Kompan RM300.

JPJ gesa pemandu bas patuhi peraturan termasuk pastikan penumpang pakai tali pinggang keledar
JPJ gesa pemandu bas patuhi peraturan termasuk pastikan penumpang pakai tali pinggang keledar

“Bagi memastikan keselamatan perjalanan jarak jauh, pengusaha bas awam diwajibkan menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer untuk mengelakkan keletihan dan memastikan perjalanan lebih terkawal. Selain itu, semua pemandu perlu mematuhi disiplin pemanduan di lebuhraya, termasuk menggunakan lorong kanan hanya untuk memotong serta mematuhi had laju yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

Dalam masa yang sama, JPJ turut mengingatkan larangan pemanduan kenderaan barangan (road ban) sempena perayaan Tahun Baharu Cina berkuatkuasa hari ini dan esok serta 21 hingga 22 Februari 2026 bagi melancarkan aliran trafik sepanjang musim perayaan.

“JPJ menyeru semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan, merancang perjalanan awal, memastikan kenderaan selamat, dan berehat secukupnya sebelum memandu, kerana keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama,”kata Azrin lagi.

Pengguna jalan raya juga dialu-alukan membuat laporan berkaitan lalu lintas sepanjang musim perayaan melalui aplikasi MyJPJ (menu e-aduan@jpj) atau e-mel ke [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan.

JPJ gesa pemandu bas patuhi peraturan termasuk pastikan penumpang pakai tali pinggang keledar

The post JPJ gesa pemandu bas patuhi peraturan termasuk pastikan penumpang pakai tali pinggang keledar appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts