Oktober tahun lalu, Chery Corporate Malaysia sudahpun mengesahkan bahawa satu lagi sub-jenamanya iaitu Lepas bakal bertapak di pasaran tempatan bermula tahun ini, manakala pada Januari lalu, Lepas Malaysia sudahpun mengeluarkan kenyataan pertamanya dengan mengumumkan perancangannya untuk membuka sekurang-kurangnya 20 cawangan jualan dan servis di negeri utama di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, dengan sasaran besarnya adalah untuk mempunyai 30 cawagan menjelang penghujung 2026.
Minggu lepas satu imej yang dikongsi dalam laman Facebook paultan.org Automotive/Car Discussion Group menampakkan sebuah kontena dengan penjenamaan Lepas, dipercayai dirakam di Pelabuhan Klang. Dan minggu ini di laman yang sama ada pengguna yang memuatnaik foto sebuah Lepas L4 di Malaysia tanpa sebarang pelekat penyamaran seperti sedang menjalani penggambaran video.
Lepas secara rasminya diperkenalkan untuk peringkat global pada April tahun lalu. Lepas bermaksud “Leap” dan “Passion”, dan ia turut merujuk kepada asas rekaan luaran barisan model jenama ini iaitu “Leopard Aesthetic” atau estetika harimau bintang. Jadi untuk kesemua model dengan jenama Lepas akan menerima lampu rekaan siang yang nipis bersama grafik LED yang kelihatan seperti mata harimau bintang yang sedang menumpukan pandangan terhadap sesuatu.
Selain itu, bahagian sisi model-model Lepas ini juga akan tampil dengan tiga garis lengkung utama yang diambil dari otot-otot lengan kaki hadapan dan paha belakang serta bahagian bawah perut seekor harimau bintang. Dan permukaan badan model-model lepas ini nampak licin dan ringkas serta melengkung dengan inspirasi diambil dari barangan tembikar.
Manakala pada bahagian dalaman, setiap model-model Lepas ini akan diberikan papan pemuka ringkas dengan rekaan asas diinpirasikan dari latar langit bumi, dan disertakan dengan konsol tengah yang bersepadu dengan skrin tengah utama dalam posisi potret serta dicondongkan seakan air terjun yang mengalir ke bawah. Sementara pada pintu dan papan pemuka, Lepas akan memberikan balutan fabrik yang tidak pernah ada pada mana-mana jenama sebelum ini, menampilkan tekstur seakan kulit bayi.
Walaupun tampil dengan rekaan lebih tersendiri, model-model Lepas masih berkongsi platform dan juga unit rangkaian kuasa yang sama seperti model Chery, Jaecoo dan Omoda. L4 merupakan SUV paling kecil dalam keluarga Lepas buat masa sekarang. Ia menampilkan dimensi panjang 4,406 mm, lebar 1,820 mm, tinggi 1,635 mm dan jarak roda sejauh 2,640 mm. Jadi Lepas L4 ini mempunyai kaitan rapat dengan Chery Tiggo Cross di mana SUV segmen A berkenaan menampilkan ukuran panjang 4,318 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,670 dan jarak roda sejauh 2,610 mm.
Kedua-dua SUV ini juga mungkin menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama dan cuma dibezakan dengan talaan – di Afrika Selatan Lepas L4 disahkan menerima enjin 1.5 liter turbo berkuasa 147 PS dan tork maksima 225 Nm digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan, manakala Chery Tiggo Cross pasaran Malaysia diberikan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 147 PS dan tork maksima 210 Nm juga dengan kotak gear yang sama.
Selain L4, Lepas turut mendedahkan dua lagi SUV yang lebih besar ketika pelancaran globalnya tahun lalu iaitu SUV segmen-C Lepas L6 yang mungkin kembar kepada Chery Tiggo 7, dan juga SUV segmen-D Lepas L8 yang sudah disahkan kembar kepada Chery Tiggo 8 generasi baharu di China.
Tahun lalu Lepas turut telah mengesahkan bahawa ia turut akan bertapak di pasaran Indonesia, dan membawa ketiga-tiga Lepas L4, L6 dan L8 untuk dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025. Untuk pasaran republik tersebut, Lepas telah mengesahkan bahawa ia akan melancarkan L8 terlebih dahulu dan akan ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa “Super Hybrid System”, merujuk kepada sistem Chery Super Hybrid (CSH) yang tampil bukan sahaja dengan sistem hibrid biasa, malah ada juga pilihan sistem plug-in hybrid (PHEV).
Untuk Malaysia, mungkin ia akan dimulakan dengan Lepas L4 terlebih dahulu memandangkan ia model pertama dijumpai dan mungkin sedang menjalani penggambaran iklan?
GALERI: Lepas L4 di GIIAS 2025
The post Lepas L4 dilihat di Malaysia – ini model pertama akan ditawarkan selepas sub-jenama Chery ini dilancarkan? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



























