Pemilik jenama Peugeot iaitu Stellantis telah mengumumkan bahawa Peugeot 408 yang dipasang di Malaysia menerusi kilangnya yang terletak di Gurun, Kedah kini telah di eksport ke pasaran Taiwan. Ia merupakan pasaran ketiga yang menerima 408 yang dipasang di Malaysia selepas Thailand menerimannya pada tahun 2024, diikuti Kemboja pada 2025.

Peugeot 408 ini menerima enjin petrol turbo 1.6 liter PureTech yang dikemaskini dan menerima penarafan Euro 6. Ia menghasilkan kuasa 225 hp (berbanding 218 PS pada pasaran Malaysia), sama seperti varian plug-in hybrid (PHEV) tetapi 168 kg lebih ringan, dakwa Stellantis.

Dengan pelaburan sebanyak 1.5 juta euro (RM7 juta), kilang Stellantis Gurun telah menerima tingkat taraf pada barisan pengeluaran, termasuk R&D khas untuk kalibrasi unit rangkaian kuasa dan juga pembangunan komponen untuk lokalisasi. Lebih banyak pasaran di Asia pasifik kini sedang dinilai untuk eksport.

“Visi kami untuk mengubah Gurun menjadi pemacu utama serantau kini sedang terbentuk, disokong oleh pelaburan strategik untuk menaik taraf kemudahan penting ini untuk pengeluaran tempatan dan eksport. Perkembangan terkini ini menekankan komitmen kami untuk meningkatkan output pengeluaran di Malaysia sambil memperluaskan jenama dan model dalam portfolio Stellantis bagi memenuhi pelbagai keperluan rantau ini,” kata Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN.

Syarikat itu turut menyatakan bahawa ia kini sedang berusaha untuk mencapai kapasiti produksi penuh di Gurun, dengan mensasarkan eksport sebanyak 280,000 unit kenderaan ke 20 negara merentas Asia Pasifik menjelang 2028. Kilang berkenaan berkemampuan untuk memasang model-model dengan enjin pembakaran dalaman, EV penuh, dan juga hibrid ringkas. Kilang ini juga turut memasang model-model Leapmotor untuk pasaran Malaysia, bermula dengan SUV C10 CKD selepas menerima pelaburan berjumlah 5 juta euro (RM23.4 juta).

The post Peugeot 408 yang pasang di Gurun, Kedah kini dieksport ke Taiwan selain Thailand dan Kemboja appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts