Lebuhraya Kajang–Seremban Sdn Bhd (LEKAS) akan melaksanakan pengaktifan SmartLane di beberapa seksyen terpilih di Lebuhraya LEKAS antara Persimpangan Kajang Selatan (LEKAS) dan Persimpangan Kajang Perdana (SILK) sebagai sebahagian daripada inisiatif pengurusan trafik secara proaktif bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak pagi dan petang.
Pelaksanaan ini telah mendapat kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan bertujuan meningkatkan kelancaran trafik serta memperkukuh tahap keselamatan jalan raya di lokasi yang dikenal pasti sering mengalami kesesakan, khususnya pada waktu puncak. Pelan mitigasi kesesakan ini akan dilaksanakan setiap hari dari jam 6 pagi hingga 9 malam bermula esok (12 Februari 2026).
Laluan SmartLane berkenaan akan diaktifkan dari KM 1.0 hingga KM 0.1 (arah utara) iaitu dari Persimpangan Kajang Selatan (LEKAS) ke Persimpangan Kajang Perdana (SILK) menuju Putrajaya. Ia juga melibatkan
KM 0.0 hingga KM 0.4 (arah selatan) iaitu dari Persimpangan Kajang Perdana (SILK) ke Persimpangan Kajang Selatan (LEKAS).
Menurut LEKAS, inisiatif ini bertujuan meningkatkan kapasiti lorong melalui pelaksanaan sistem SmartLane yang mengoptimumkan penggunaan ruang jalan sedia ada bagi memperbaiki aliran trafik. Langkah-langkah keselamatan turut diambil kira, termasuk penempatan kon trafik (di lokasi terpilih), lampu amaran, serta papan tanda untuk panduan pengguna lebuhraya bagi memastikan penggunaan lorong yang selamat sepanjang tempoh pengaktifan SmartLane.
Kedua-dua lokasi SmartLane ini melibatkan penggunaan sementara lorong kecemasan sebagai lorong
tambahan semasa waktu operasi. Laluan SmartLane ini mempunyai papan tanda “SmartLane Mula” dan “SmartLane Tamat”, lampu LED hijau menunjukkan lorong dibuka, manakala lampu tidak menyala menunjukkan lorong ditutup.
Selain itu, ia juga menempatkan papan tanda amaran awal dan akan dinyahtaktifkan di luar waktu operasi di mana lorong kecemasan akan kembali kepada fungsi asalnya untuk tujuan kecemasan.
Bagi menyokong pelaksanaan ini, LEKAS telah memasang papan tanda amaran awal, papan arah lorong serta visual yang menunjukkan pembahagian lorong dan penyaluran trafik di lokasi terlibat. Pengguna lebuhraya dinasihatkan untuk mematuhi semua papan tanda amaran dan arah yang disediakan, memilih lorong yang sesuai lebih awal mengikut destinasi dan mengekalkan laluan lorong ke destinasi pilihan terutamanya pada waktu puncak bagi memastikan aliran trafik lebih lancar dan selamat.
Ketua Pegawai Operasi Lebuhraya LEKAS, Chua Lay Hoon berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen
berterusan LEKAS terhadap pengurusan trafik secara proaktif.
“Pelaksanaan pengaktifan SmartLane menunjukkan pendekatan proaktif LEKAS dalam mengurus kesesakan
pada waktu puncak pagi dan petang. Dengan penggunaan sementara lorong kecemasan serta panduan lorong yang lebih awal melalui penambahbaikan papan tanda destinasi, kami menyasar untuk meningkatkan kapasiti jalan, mengurangkan pergerakan silang (weaving), dan memperbaiki aliran trafik di kawasan persimpangan kritikal.
“Keselamatan pengguna lebuhraya adalah keutamaan kami. Inisiatif pengurusan trafik ini telah dirancang
dengan teliti dan diluluskan oleh pihak berkuasa berkaitan, disokong oleh langkah dan pelan pengurusan trafik yang komprehensif serta pemantauan berterusan bagi memastikan pelaksanaan yang selamat dan berkesan,” katanya.
The post SmartLane diaktifkan dari Kajang Selatan (LEKAS) ke Kajang Perdana (SILK) mulai 12 Feb, 6 pagi-9 malam appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















