Proton memulakan tahun 2026 dengan langkah kanan dalam segmen kenderaan elektrik (EV) apabila mencatatkan sebanyak 3,276 pendaftaran pada bulan Januari, berdasarkan data terbaru daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jumlah tersebut sudah cukup untuk meletakkan Proton sebagai jenama EV paling laris di Malaysia bagi bulan pertama tahun ini, meskipun ketika ini ia hanya menawarkan dua model iaitu eMas 7 dan eMas 5.

Di tempat kedua ialah BYD yang merekodkan 913 unit pendaftaran, ketinggalan 2,363 unit di belakang Proton. Kedudukan ketiga menjadi milik Zeekr dengan 489 unit, manakala iCaur pula rapat di belakang di tangga keempat dengan 451 unit.

Di luar kelompok empat teratas, tiada jenama lain yang berjaya melepasi angka 400 unit. Tesla berada di tangga kelima dengan 176 unit, sedikit mendahului Leapmotor yang mencatatkan 171 unit di tempat keenam serta MG di tempat ketujuh dengan 169 unit.

Bagi jenama yang tidak mencapai angka tiga digit, senarai bermula dengan Xpeng di kedudukan kelapan dengan 97 unit. Mercedes-Benz menyusul di tempat kesembilan dengan 83 unit, diikuti Denza dengan 55 unit. Great Wall Motor mencatatkan 51 unit, Dongfeng 43 unit, BMW 40 unit dan smart 38 unit untuk melengkapkan kedudukan sehingga tangga ke-14.

20 jenama EV terlaris di Malaysia Januari 2026 – Proton di atas dengan jumlah 3x berbanding BYD

TQ Wuling turut tersenarai dalam kelompok 20 teratas selepas pelancaran model Bingo pada Disember 2025. EV pemasangan tempatan (CKD) itu merekodkan 35 unit pendaftaran pada Januari, sekali gus meletakkan jenama tersebut di tangga ke-15.

Lima kedudukan terbawah dalam senarai 20 teratas menyaksikan Porsche di tempat ke-16 dengan 32 unit, yang berkemungkinan termasuk kenderaan import terpakai (recond). Volvo berada di tangga ke-17 dengan 28 unit, diikuti Neta dengan 24 unit, MINI dengan 23 unit dan Lexus melengkapkan senarai di tempat ke-20 dengan 19 unit.

Dengan baki 11 bulan lagi dalam tahun 2026, kedudukan ini masih boleh berubah, terutamanya jika lebih banyak model baru diperkenalkan atau pengeluar memulakan operasi pemasangan tempatan bagi menawarkan harga yang lebih kompetitif. Namun setakat ini, Proton jelas mendahului pasaran dengan jurang yang agak besar.

The post 20 jenama EV terlaris di Malaysia Januari 2026 – Proton di atas dengan jumlah 3x berbanding BYD appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts