Walaupun Proton Saga sudah merampas takhta Perodua Bezza sebagai kereta paling laris sepanjang Januari 2026, untuk gelaran jenama terlaris masih lagi dipegang oleh Perodua. Menerusi data pendaftaran kenderaan baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bulan Januari 2026 mendedahkan bahawa Perodua telah berjaya menjual sebanyak 26,128 unit kereta.

Namun untuk pembukaan tahun ini, Proton dilihat telah merapatkan jurang perbezaannya dengan Perodua – jika sebelum ini lazimnya angka jualan bulanan Proton adalah sekitar separuh atau kurang dari Perodua, untuk Januari 2026 Proton berjaya menjual sebanyak 19,750 unit kereta baharu, atau kini jurangnya semakin kurang kepada sekitar 25% sahaja berbanding Perodua.

Toyota menjadi jenama bukan nasional paling laris bulan lalu dengan jualan sebanyak 6,598 unit, diikuti Honda di tempat keempat dengan jualan 3,177 unit. Walau bagaimanapun kedua-dua jenama Jepun ini mencatatkan jualan yang lebih rendah berbanding bulan sama tahun lalu.

Manakala Chery pula menjadi jenama dari China paling laris sepanjang Januari 2026 dengan jualan sebanyak 1,287 unit untuk berada di tempat kelima secara keseluruhan, diikuti sub-jenamanya iaitu Omoda | Jaecoo yang berada di tempat keenam dengan jualan 1,230 unit.

20 jenama terlaris di Malaysia Jan 2026 – Perodua masih no.1, Proton menghampiri, Nissan jatuh no.18

Top 20 brands Malaysia Jan 2026-1

Mitsubishi yang masih hanya ada dua model yang dijual di Malaysia sebelum model baharu Xforce dilancarkan masih gagah berada di tempat ke-tujuh dengan jualan 1,191 unit, diikuti jenama EV China iaitu BYD berada di tempat ke-lapan dengan jualan 913 unit – ini bulan pertama BYD menjual kenderaan tanpa insentif EV CBU dari kerajaan yang berakhir hujung tahun lalu, dan selepas lima bulan berturut-turut mencatatkan jualan bulanan melebihi 1,000 unit.

Mazda berada di tempat ke-sembilan dan menjadi jenama Jepun terakhir berada dalam Top 10 bulan lalu dengan jualan 841 unit. Mercedes-Benz berada di tempat ke-10 (677 unit) berjaya mengatasi BMW yang berada di tempat ke-12 (545 unit). Manakala Jetour melonjak ke kedudukan ke-11 pada bulan lalu dengan pendaftaran sebanyak 593 unit kenderaan.

Satu lagi jenama China iaitu Zeekr juga naik ke posisi lebih baik iaitu ke-13 dengan jualan sebanyak 489 unit bulan lalu. Manakala satu lagi sub-jenama Chery iaitu iCaur buat pertama kali masuk ke carta 20 jenama terlaris dengan berada di kedudukan ke-14 selepas berjaya menjual sebanyak 451 unit bulan lalu.

Dengan kebangkitan beberapa jenama China ini telah memaksa beberapa jenama Jepun jatuh ke kedudukan lebih bawah, di mana Nissan berada di tangga ke-18 (336 unit) dan Isuzu berada di tempat ke-20 (261 unit). Lebih malang untuk jenama EV Amerika Syarikat iaitu Tesla yang terkeluar terus dari senarai 20 terlaris bulan lalu.

The post 20 jenama terlaris di Malaysia Jan 2026 – Perodua masih no.1, Proton menghampiri, Nissan jatuh no.18 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts