Honda Malaysia semalam telah mengumumkan sasaran jualan bagi tahun 2026, dengan angka sebanyak 60,000 unit. Ini merupakan sebuah sasaran yang sederhana dan lebih rendah memandangkan pada tahun 2025, syarikat itu telah berjaya menjual sebanyak 72,301 unit kenderaan.
Walaupun angka tersebut memadai untuk membolehkan Honda Malaysia kekal sebagai pendahulu dalam segmen kenderaan penumpang bukan-nasional untuk 12 tahun berturut-turut, ia sebenarnya masih jauh dari sasaran asal yang diletakkan untuk tahun lalu, iaitu sebanyak 83k unit kenderaan. Bagi tahun 2024, Honda Malaysia telah menjual sebanyak 81,600 unit kenderaan.
Menurut syarikat itu, sasaran sederhana bagi 2026 mencerminkan perubahan dalam persekitaran pasaran, yang disandarkan kepada kefahaman terhadap perubahan perilaku pelanggan serta permintaan pasaran yang semakin berkembang. Namun Honda Malaysia tetap akan kekal komited terhadap pertumbuhan mapan yang dipacu oleh nilai, dan akan terus menzahirkan strateginya untuk memberikan pengalaman “fun to drive” menerusi barisan kenderaan keluaran jenama itu.

“Semangat “fun to drive” mencerminkan komitmen kami untuk memberikan kenderaan yang terhubung dengan pelanggan secara emosi. Kami ingin menekankan bahawa produk Honda adalah lebih daripada sekadar sebuah pengangkutan. Ia adalah tentang keterhubungan segera yang boleh dirasakan oleh pengguna ketika mereka melangkah masuk ke dalam; keseronokan yang terbit daripada rasa pemanduan yang natural. Emosi inilah yang Honda bangunkan dalam setiap model sejak awal,” jelas Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Narushi Yazaki.
Selari dengan pendekatan ini, syarikat itu menjelaskan juga akan mengembangkan lagi barisan model e:HEV, dengan penawaran akan datang bakal dilengkapi oleh teknologi S+ Shift untuk pasaran tempatan. Honda Malaysia juga akan memperkenalkan enam model baru di sini, tahun ini, termasuk Prelude BF1.
Honda Malaysia juga akan memperkukuhkan operasi pengedarnya dengan memberi tumpuan untuk mempertingkatkan aspek jualan dan lepas jualan tahun ini, dan yakin akan dapat mencapai sasarannya tahun ini.
The post Honda Malaysia jual 72,301 unit kenderaan sepanjang 2025, letak sasaran sederhana 60,000 unit untuk 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




















