Selepas diperkenalkan di Malaysia hampir setahun lalu, Denza D9 kini semakin kerap dilihat atas jalan raya. Namun begitu, di China, Denza sudah pun merancang kemas kini bagi model tahun 2026. Walaupun perubahan luaran adalah minimum, pemfailan terbaru di Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China mendedahkan bahawa naik taraf besar sebenarnya berlaku di bahagian mekanikal, lapor Autohome.
Sebelum ini, Denza D9 versi elektrik penuh mudah dibezakan berbanding varian plug-in hybrid melalui gril hadapan tertutup dengan kemasan jalur menegak. Bagi kemas kini terbaru, Denza dilihat mahu menyeragamkan rekaan dengan menggunakan gril yang sama seperti versi hibrid, lengkap dengan corak sisipan berbentuk bendera. Turut dikesan ialah satu lagi varian dengan elemen menegak menyerupai “shard”, yang berkemungkinan merupakan versi mewah dengan spesifikasi lebih tinggi.
Secara keseluruhan, rupa luaran D9 masih hampir sama seperti sebelum ini. Ia masih menggunakan lampu hadapan dengan kemasan rona emas ros, tiang D warna perak berbentuk layar, lampu belakang melintang penuh serta rekaan bampar belakang yang sama.
Rim aloi 18 inci banyak jejari juga terus digunakan, namun kini ditawarkan dengan beberapa pilihan rekaan baru. Bahagian dalaman pula dijangka menerima sedikit sentuhan baru dari segi kemasan dan pilihan warna bagi menyegarkan suasana kabin mewahnya.
Perubahan paling ketara sebenarnya terletak di bawah bonet, apabila Denza D9 kini menerima peningkatan kuasa yang sangat besar. Varian pacuan roda hadapan dengan satu motor kini menghasilkan 462 PS atau 340 kW, iaitu lebih tinggi daripada versi pacuan semua roda sedia ada dan meningkat sebanyak 149 PS berbanding model sebelumnya.
Bagi varian pacuan semua roda, motor belakang turut dinaik taraf dengan tambahan 95 PS, menjadikan jumlah kuasa keseluruhan mencecah 557 PS atau 410 kW. Ini merupakan peningkatan sebanyak 190 PS dan meletakkan D9 sebaris dengan pesaing berprestasi tinggi seperti Zeekr 009.
Dengan kuasa yang jauh lebih besar ini, prestasi pecutan juga dijangka bertambah baik berbanding model semasa yang mencatat masa 0-100 km/j dalam 9.5 saat untuk versi pacuan hadapan dan 6.9 saat bagi pacuan semua roda.
Setakat ini, butiran teknikal lain masih belum didedahkan. Namun, terdapat harapan bahawa Denza akan memasang D9 dengan bateri yang lebih besar bagi menyokong trenkuasa baru ini. Model sedia ada sudah pun menggunakan bateri Blade LFP berkapasiti 103.6 kWh dan peningkatan kapasiti bukan sahaja mampu menambah jarak pemanduan, malah meningkatkan kesesuaiannya untuk perjalanan jarak jauh.
Sebagai rujukan, versi pacuan semua roda ketika ini mampu mencapai jarak sehingga 480 km mengikut kitaran WLTP. Peningkatan kadar pengecasan pantas DC, yang kini dihadkan kepada 166 kW, juga dilihat sebagai satu penambahbaikan yang dialu-alukan.
Walau bagaimanapun, satu ciri yang tidak dijangka ditawarkan untuk pasaran Malaysia ialah sistem bantuan pemandu eksklusif China, milik BYD yang dikenali sebagai God’s Eye versi 5.0. Sistem ini menawarkan penambahbaikan kepada fungsi brek kecemasan automatik dan bantuan stereng mengelak dengan pengesanan lebih baik terhadap kenderaan, pejalan kaki dan penunggang basikal.
Ia juga menyokong pemanduan automatik tahap tinggi di kawasan bandar dan lebuh raya, menggunakan lebih banyak kamera serta sensor lidar yang dipasang di bumbung, seperti yang terdapat pada Denza D9 versi pasaran China.
The post Denza D9 EV 2026 terdedah di China – rekaan gril baru, kuasa 462 PS untuk FWD dan 557 PS untuk AWD appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


















