Ketika berlangsungnya majlis makan malam sambutan Tahun Baru Cina Hyundai Motor Malaysia (HMY) malam tadi, syarikat itu mengumumkan bahawa ia bakal mengembangkan jaringan pengedaran dan servisnya dari 12 kepada 25 dalam tahun 2026 ini. Menurut syarikat itu ini merupakan komitmen jangka panjangnya untuk pasaran Malaysia.
HMY mula beroperasi pertengahan tahun lalu sebagai sebuah syarikat prinsipal terus dari Korea Selatan, bagi menggantikan pengurusan Hyundai Sime Darby Motor (HSDM) di Malaysia. Dalam tahun yang sama, HMY turut telah menandatangani surat niat (LOI) dengan empat rakan pengedar pada Disember.
Rancangan pengembangan jaringan pengedaran dan servis ini bukan hanya ditumpukan di bahagian semenanjung Malaysia, malah ekosistem tersebut turut akan diperluas di Sabah dan Sarawak.
Selain itu HMY turut mendedahkan rancangan lain untuk 2026, antaranya untuk melancarkan model prestasi N iaitu Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N pada suku kedua, memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk model Tucson dan Santa Fe juga pada suku kedua, serta bakal melancarkan MPV tujuh-tempat duduk segmen-B Hyundai Stargazer pada suku keempat tahun ini.
The post Hyundai Malaysia sasar kembangkan jaringan pengedaran dan servis dari 12 ke 25 outlet pada 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















