Mazda mengumumkan bahawa SUV segmen-C Mazda CX-5 kini sudahpun mencapai produksi dan juga jualan melebihi lima juta unit di seluruh dunia pada penghujung 2025 sejak model generasi pertamanya diperkenalkan pada 2011. Ini menjadikan CX-5 sebagai model ketiga Mazda yang telah mencapai angka berkenaan selepas Mazda 323 dan juga Mazda3.
Buat masa sekarang CX-5 telah terjual di lebih 100 pasaran secara global. Produksi pertamanya bermula dengan kilang Ujina No.2 di Hiroshima, Jepun pada 2011, kemudian ia berkembang ke kilang Ujina No.1, kilang Hofu di Yamaguchi dan juga kilang-kilang di China.
Mazda CX-5 juga dipasang di pelbagai negara lain untuk program pemasangan tempatan (CKD), dan untuk ini tidak terkecuali unit-unit yang dipasang di Kulim, Kedah untuk pasaran Malaysia.
“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas kepada semua para pelanggan dan peminat di seluruh dunia yang menyokong CX-5. CX-5 serba baharu telah pun bertukar seluruhnya dalam masa lapan-tahun, memperhalusi lagi rekaan sporty dan dinamik pemanduannya. Ia menawarkan kabin yang luas di mana semua penumpang dapat menikmati keselesaan dan kemudahan, bersama dengan antara muka Manusia-Mesin yang direka semula,” kata pengurus program CX-5, Koichiro Yamaguchi.
“Dengan fokus yang teliti terhadap kebolehgunaan harian, ia telah berkembang menjadi SUV generasi baharu yang menjadikan pemanduan lebih selesa dan kehidupan itu sendiri lebih bermakna. Kami akan terus membangunkan CX-5 dengan teliti, menyasarkan ia dihargai untuk tahun-tahun akan datang,” tambahnya.
Mazda CX-5 generasi ketiga yang baru dididedahkan pada peringkat global Julai lalu, bermula di Eropah dan kemudian ke pasaran Jepun pada Oktober 2025. Untuk permulaan CX-5 generasi baharu ini hanya ditawarkan dengan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu e-SkyActiv-G yang menggandingkan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris dan juga sistem hibrid ringkas 24-volt. Enjin berkenaan ditala dengan kuasa 141 PS dan tork maksima 238 Nm, dialirkan ke kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan.
Sekali tengok ia mungkin nampak sama dengan model generasi kedua, namun hakikatnya Mazda CX-5 baharu ini dihasilkan lebih besar dari model generasi sedia ada dengan menampilkan dimensi panjang 4,690 mm, lebar 1,860 mm dan tinggi 1,695 mm. Ini bermakna model generasi baharu ini adalah 115 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan juga 15 mm lebih tinggi dari model sebelumnya.
Jarak roda model generasi baharu ini juga lebih jauh iaitu 2,775 mm (+75 mm), membolehkan ruang kabin direka lebih luas, dalam masa yang sama turut memberikan pengendalian yang lebih stabil.
Dengan badan yang lebih tinggi, Mazda bukan hanya dapat menyediakan ruang kepala yang lebih selesa kepada penumpang, malah pintu belakang SUV ini dapat direka dengan bukaan lebih luas bagi membolehkan penumpang masuk dan keluar dengan lebih mudah – penumpang yang tinggi tidak perlu terlalu menunduk, manakala penumpang kanak-kanak dan juga warga emas juga lebih mudah masuk kerana bendul pintu yang direka lebih rendah.
Saiz badan yang lebih besar dan panjang ini juga memberikan ruang but 61 liter lebih luas berbanding model generasi sebelumnya. Malah ia bukan soal ruang semata-mata, kerana Mazda menghasilkan pintu tailgate belakang juga dengan bukaan lebih luas dan bahagian bawah lebih rendah bagi memastikan barang yang besar boleh dimasukkan dengan mudah ke ruang berkenaan.
Pengerusi eksekutif Bermaz Auto Tan Sri Ben Yeoh mendedahkan pada Oktober lalu bahawa model generasi ketiga Mazda CX-5 ini bakal sampai ke pasaran Malaysia pada suku ketiga 2026 dan ia akan ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu, manakala versi CKD akan diperkenalkan sekitar 12-16 bulan selepas itu.
Yeoh turut mendedahkan bahawa ketika CX-5 generasi ketiga dilancarkan kelak, model generasi kedua akan terus ditawarkan dalam pasaran, di mana model berkenaan kini dihasilkan secara CKD di kilang Inokom di Kulim, Kedah. Beliau turut menjelaskan, ketika CX-5 generasi ketiga dilancarkan nanti, ia hanya akan ditawarkan dengan enjin 2.5 liter, sementara bagi model generasi kedua pula hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 liter. Buat masa sekarang CX-5 generasi kedua sedia ada pada pasaran Malaysia turut ditawarkan dengan enjin 2.5 liter NA dan juga 2.5 liter Turbo selain 2.0 liter NA.
The post Mazda CX-5 – produksi dan jualan cecah 5 juta unit di seluruh dunia, Malaysia antara penyumbang produksi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















