Kerajaan telah memutuskan untuk memberikan diskaun tol sebanyak 50% daripada kadar tol biasa selama dua hari iaitu bermula jam 12.01 tengah malam pada 14 Februari dan berakhir jam 11.59 malam pada 15 Februari 2026 kepada para pengguna kenderaan persendirian.
Ia adalah bagi meringankan beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang perjalanan untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga atau bercuti untuk menyambut awal Ramadan.
Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, diskaun tol akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Kerajaan Madani dalam Mesyuarat Kabinet semalam telah bersetuju untuk memberikan potongan tol 50% dari kadar tol biasa sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2026. Implikasi kewangan yang ditanggung Kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM19.5 juta,” kata Alexander.

Tambahnya, pemilihan tarikh tersebut bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di sepanjang kawasan hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuhraya.
Semua pengguna lebuhraya disaran agar merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Pengguna disarankan memuat turun aplikasi MyPLUS- TTA dan TuJu Highway Navigation App LLM untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pemanduan.
Selain itu, anda juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan papan tanda, had laju, dan maklumat yang dipaparkan menerusi Variable Message System (VMS). Bagi mereka yang menggunakan lorong SmartLane, anda diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong tersebut, memandu dengan
kelajuan dietapkan, dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.
Anda juga boleh menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia di Facebook, aplikasi X, TikTok, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1800-88-7752. Maklumat tambahan juga boleh didapati melalui laman sesawang rasmi LLM untuk paparan CCTV serta WhatsApp Channel LLM Info Trafik.
The post Diskaun tol 50% pada 14-15 Feb sempena CNY; kecuali di plaza tol BSI, Tg Kupang – kos pampasan RM19.5j appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















