Toyota sekali lagi merombak barisan kepimpinan utamanya dengan melantik pegawai operasi dan ketua pegawai kewangannya iaitu Kenta Kon sebagai presiden dan CEO baharu bermula 1 April 2026 nanti. Kon akan menggantikan tugas Koji Sato yang dilantik ke jawatan tersebut pada 2023. Selepas ini Sato akan bertugas sebagai naib pengerusi Toyota, bagi membantu Akio Toyoda sebagai pengerusi syarikat, dan beliau turut akan menyandang satu lagi jawatan yang baru diwujudkan iaitu ketua pegawai industri.
Dengan startegi baharu ini, Kon sebagai bos baharu akan bertanggungjawab terhadap pengurusan dalaman syarikat, manakala Sato pula akan lebih fokus terhadap perkara-perkara berkenaan industri secara keseluruhan termasuk memegang jawatan sebagai pengerusi Persatuan Pengeluar Automobil Jepun (JAMA). Menurut Toyota rombakan ini dibuat adalah untuk “mempercepatkan proses membuat keputusan sebagai respon terhadap perubahan dalam persekitaran dalaman dan luaran.”
Kon dilantik ke jawatan baharu ini di atas pengalamannya dalam bahagian kewangan, di mana Toyota mensasarkan untuk menambahbaik keuntungan dan mengurangkan jumlah pulang modal produknya bagi menghasilkan kereta yang lebih baik. Kon akan ditugaskan untuk melaksanakan pembaharuan berskala luas kepada seluruh rantaian nilainya, memanfaatkan pengalaman pengurusan rentas fungsinya ketika bertugas di divisi perisian Woven By Toyota sebelum ini.
Manakala untuk Sato, peranannya dalam JAMA akan membolehkan beliau mendapatkan kerjasama lebih besar dengan pembuat-pembuat kereta Jepun yang lain. Beliau juga merupakan naib pengerusi Persekutuan Perniagaan Jepun (Keidanren), dan dalam peranannya di situ, beliau diharap untuk mempromosikan cadangan dasar yang berpaksikan monozukuri (pembuatan) dan kolobrasi industri termaju bagi menambahbaik daya saing perindustrian Jepun.
The post Toyota lantik Kenta Kon sebagai presiden, CEO baru – Koji Sato dilantik naib pengerusi, ket. pegawai industri appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















