Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan peringatan kepada kenderaan persendirian atau milik orang awam yang menggunakan siren dan lampu biru di jalan raya.
Menurut perkongsian di Facebook rasminya, KDN berkata, penggunaan siren dan lampu biru untuk kenderaan awam adalah satu kesalahan undang-undang dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Jika ada orang awam atau kenderaan persendirian yang menggunakannya, tindakan penguatkasaan boleh dikenakan iaitu di bawah Kaedah 138 (1) iaitu Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959, Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda RM2,090 atau penjara enam bulan serta Seksyen 170 Kanun Keseksaaan (jika menyamar sebagai penjawat awam).
Sebelum ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pernah mengeluarkan kenyataan bahawa hanya kenderaan polis, bomba, ambulans dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja dibenarkan mendapat hak laluan mengatasi kenderaan lain dengan cara membunyikan siren tertentu, loceng atau hon dua nada, iaitu menurut Kaedah 9, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Perkongsian KDN ini susulan baru-baru ini terdapat sebuah Toyota Vellfire yang dirakam menyalakan siren dan lampu pandu arah ketika melalui jalan yang sesak. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pihaknya giat mengesan pemandu MPV terbabit namun nombor pendaftaran kenderaan di dalam video tular berkenaan tidak dapat dipastikan, laporan Harian Metro.
Menurutnya, setakat ini juga tiada laporan dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian itu malah penelitian di ruang komen juga tidak menemukan maklumat berkaitan nombor pendaftaran MPV berkenaan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.
“Mana-mana individu atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
The post KDN keluarkan peringatan berkenaan penggunaan siren dan lampu biru untuk kenderaan persendirian appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















