Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) membuat serahan 200 unit Yamaha Tracer 9 GT kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekaligus menandakan pembekalan motosikal berkuasa tinggi terbesar pernah dilakukan oleh syarikat itu kepada PDRM.
Majlis yang berlangsung di ibu pejabat HLYM di Sungai Buloh dihadiri oleh Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Muhammad Hanif Othman, pegawai PDRM serta wakil daripada HLYM, sambil menampilkan Tracer 9 GT yang lengkap diubah suai untuk kegunaan PDRM.
Tracer 9 GT 2026 baru sahaja dilancarkan untuk pasaran Malaysia minggu lepas, dan ia menampilkan pelbagai pembaharuan termasuk reka bentuk, terutamanya lampu hadapan, yang menggunakan susunan bertingkat untuk unit LED bersama dengan fungsi Cornering Light. Sebagai versi GT, lampu utamanya juga adalah jenis LED matriks adaptif yang disambungkan kepada sistem kamera dan boleh melaras sendiri mengikut keadaan sekitar.
Di bahagian suspensi, motosikal ini dilengkapi unit semi aktif yang boleh melaras sendiri mengikut input yang diterima oleh Inertial Measurement Unit (IMU), terdiri daripada fork USD Kayaba di hadapan dan monoshock dengan tombol pelarasan pra beban di tepi.
Enjin bagaimanapun masih sama seperti sebelum ini, iaitu unit tiga silinder CP3 890 cc yang mampu menghasilkan kuasa 119 PS pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm. Mod tunggangan pula ada lima iaitu Sport, Street, Rain dan dua mod yang boleh diubah suai.
The post HLYM serah 200 Yamaha Tracer 9 GT kepada PDRM appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





















