Hari ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mempertontonkan SUV Xforce serba baharu yang bakal dilancarkan di pasaran tempatan pada April ini. Bakal ditawarkan dengan dua varian iaitu Urban dan Ultimate, MMM turut menyatakan bahawa harga jangkaan bagi Xforce adalah sekitar RM110,000 hingga RM120,000.
Belum mendedahkan tarikh pelancarannya namun tempahan bagi SUV segmen-B ini turut dibuka mulai hari ini. MMM turut menganjurkan promosi pembelian terawal atau early bird di mana 1,000 pelanggan pertama berpeluang menikmati rebat RM5,000 dan peluang melayakkan diri menyertai peraduan ‘Beli satu percuma satu’ untuk Urban. Manakala menerusi program kesetiaan pula, tambahan RM1,000 akan diberikan untuk pemilik Mitsubishi yang memilih varian Ultimate.
Xforce bagi pasaran Malaysia adalah versi pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang pengeluaran Mitsubishi yang terletak di Pekan, Pahang. MMM turut menyasarkan untuk menghantar 800 unit pertama Xforce pada April 2026.
Xforce ditampilkan dengan enjin petrol 1.5 liter Naturally Aspirated 4A91 DOHC MIVEC yang sama seperi MPV Xpander, mampu menghamburkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada 4,000 rpm. Walau bagaimana pun, enjin Xforce digandingkan dengan kotak gear CVT yang memacu hanya roda hadapan, berbanding transmisi automatik empat-kelajuan pada Xpander.
Memiliki ukuran dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi serta jarak roda 2,650 mm, Xforce berada di antara Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross dari segi saiz, dan juga sedikit lebih besar berbanding Perodua Traz yang baru dilancarkan dan Toyota Yaris Cross yang juga bakal memasuki pasaran tempatan tak lama lagi. Xforce juga memiliki jarak dari tanah (ground clearance) mencecah 222 mm yang didakwa paling tinggi dalam kelasnya, dibandingkan dengan 196 mm pada HR-V dan Traz pula 210 mm.
Bagi rekabentuk luaran, Xforce mengetengahkan konsep “Silky & Solid” yang menggabungkan gaya elegan dari bahagian hadapan hingga belakang. Wajah hadapannya berkonsepkan “Dynamic Shield” yang menampilkan lampu LED ikonik diintergrasikan dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk T-Shape, manakala gril Piano Black Hexagonal dan bampar pula direka dengan efek tiga dimensi yang tampak lebih sporty dan agresif.
Ia juga diberikan roda aloi dua-tona 18-inci, flaring fender yang menampilkan imej lebih lasak, cermin sisi elektrik dengan lampu membelok terbina di dalam, lampu belakang LED yang juga mengekalkan bentuk T-shape, reka bentuk bumbung ‘terapung’, bilah pengelap cermin hadapan dengan fungsi Auto Rain serta penderia parkir hadapan dan belakang.
Varian Ultimate pula diberikan ciri luaran yang lebih premium iaitu pintu tailgate kuasa dengan fungsi kick motion, lambang hud enjin dan tailgate spoiler.

Menjengah pada bahagian kabinnya, Xforce menerima sentuhan konsep “Horizontal Axis” pada papan pemuka yang mencipta suasana ruang yang luas dan terbuka serta meningkatkan visibiliti. Boleh dikatakan rekaan papan pemuka Xforce nampak lebih premium berbanding pesaingnya. Untuk urban, ia diberikan papan pemuka PVC rona hitam dengan soft pad, manakala model spesifikasi penuh Ultimate menerima papan pemuka berkemasan Mélange Weave dengan sentuhan warna mocha.
Untuk ciri paparan, varian asas Urban diberikan paparan audio lapan-inci dengan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay berwayar dan paparan meter digital TFT 4.2-inci. Manakala Ultimate menerima unit paparan audio lebih besar bersaiz 12.3-inci bersama Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar dan paparan digital bersaiz lapan-inci untuk pemandu.
Bagi fungsi hiburan, Urban sekadar diberikan sistem audio standard dengan enam-pembesar suara bersama tweeter. Dan Ultimate pula menerima sistem audio premium “Dynamic Sound Yamaha” dengan lapan-pembesar suara.
Sesuai dengan kedudukannya sebagai model spesifikasi penuh, Ultimate turut diberikan ciri kelengkapan khas termasuk pengecas tanpa wayar, pencahayaan lampu kabin LED biru, empat mod pemanduan (Normal, Wet. Gravel, Mud), penapis udara Nanoe X buatan Panasonic, cermin pandang belakang dengan fungsi auto-kelam.

Ciri standard lain untuk kedua-dua varian termasuk larasan manual bagi tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, material leatherette hitam (dengan kemasan Mocha untuk Ultimate) tempat duduk belakang 40:20:40 boleh direbahkan sehingga lapan tahap untuk keselesaan maksimum, perehat tangan tengah dengan fungsi penyejukan, penyaman udara dwi-zon dengan corong untuk bahagian lutut, dua port USB (Type A & C) untuk hadapan dan belakang serta kamera paparan sekeliling.
Xforce memiliki ruang but berkapasiti 480 liter (tanpa tempat duduk dibaringkan) yang boleh disifatkan cukup luas, berbanding HR-V dengan 437 liter dan Traz berkapasiti 471 liter.
Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, Xforce yang telah mendapat penarafan lima-bintang dalam ujian ASEAN NCAP diberikan ciri standard termasuk ABS, ESC, EBD dan bantuan brek, brek parkir elektrik dengan fungsi brake hold, bantuan mula mendaki, speed sensing door lock, Isofix, Active Yaw Control, amaran titik buta (BSW), Bantuan Menukar Lorong (LCA), Kepekaan Trafik Belakang (RCTA) dan empat unit beg udara untuk Urban serta enam unit bagi Ultimate.
Untuk Ultimate, ia diberikan ciri keselamatan tambahan iaitu Mitsubishi Motors Safety Sensing (yang menyerupai ADAS) merangkumi Sistem Mitigasi Pelanggaran Hadapan (FCM), Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Notifikasi Kenderaan Hadapan Bergerak (LCDN), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).
Buat masa ini, harga pasaran Xforce masih belum didedahkan, cuma dimaklumkan harga anggarannya sekitar RM110,000 hingga RM120,000. Setiap pembelian Xforce turut diberikan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan. Selanjutnya, kita kena tunggu pengumuman rasmi dari pihak MMM.
The post Mitsubishi Xforce dipertontonkan di Malaysia – dua varian CKD, 1.5L CVT; anggaran RM110k-RM120K appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















