Selepas dipertontonkan secara rasmi di Malaysia pada Disember tahun lalu, Central Auto Distributors (CADB) hari ini melancarkan secara rasmi dua model Dongfeng Vigo untuk pasaran tempatan. Hanya satu varian ditawarkan, Vigo Premier dengan harga RM108,888. Sempena pelancarannya, harga pengenalan RM100,000 diberikan kepada pelanggan terawal.
Dongfeng Vigo untuk pasaran Malaysia dilengkapi dengan bateri LFP berkapasiti 51.87 kWh dengan motor elektriknya menjana kuasa sebanyak 120 kW (161 hp) dan 230 Nm tork, pacuan roda depan. Ini memberikan jarak perjalanan sehingga 471 km mengikut kitaran CLTC. Pecutan 0-100 km/j pula dicapai dalam masa 9.5 saat.
Untuk pengecasan, ia mampu menampung pengecasan pantas DC jenis sehingga 167 kW (30%-80% dalam 30 minit), sementara untuk pengecasan AC jenis Type 2 dengan kapasiti sehingga 6.6 kW (sembilan jam diperlukan untuk cas penuh). Fungsi vehicle-to-load (V2L) juga tersedia dengan kadar sehingga 3.3 kW untuk membekalkan kuasa kepada peralatan luar.

Dongfeng Vigo mempunyai dimensi ukuran 4,306 mm panjang, 1,868 mm lebar dan 1,654 mm tinggi dengan jarak roda 2,715 mm. Berbanding BYD Atto 2, saiz Vigo tidak jauh beza — empat milimeter lebih pendek, 38 mm lebih lebar dan 30 mm lebih rendah. Saiz ini juga sekitar 149 mm lebih pendek berbanding Atto 3 — dengan jarak roda berkenaan 95 mm lebih panjang berbanding Atto 2 dan hanya lima milimeter lebih pendek berbanding Atto 3
Bahagian luar Vigo tampil dengan rekaan unik dengan ilham dari kiub Rubik, walaupun beberapa elemen seperti meminjam rekaan dari Kia EV5. Lampu hadapan LED projektor berbentuk L terbalik disambungkan dengan bar plastik lutsinar, manakala bamparnya diberi kemasan plastik hitam tebal bersama pelindung perak.
Di bahagian tepi, terdapat lengkung roda bersegi, cermin sisi dengan jalur hitam dan pemegang pintu rata yang sebenarnya tidak bergerak — ia menggunakan butang elektronik di bahagian bawah. Vigo dipadankan dengan rim 18-inci bersama penutup aero penuh.

Bahagian belakang menampilkan lampu berbentuk segitiga dan ciri istimewa yang jarang ditemui dalam segmen ini — penutup but jenis dua bahagian seperti BMW X5 atau Range Rover. Ruang but yang ditawarkan juga luas, sekitar 500 liter, serta tempat duduk belakang dibahagikan kepada konfigurasi 60:40. Terdapat juga lantai but dua tingkat dan pelbagai ruang simpanan di bahagian bawah dan ruang simpanan di bahagian depan kereta.
Kabin Vigo direka dengan gaya minimalis, dilengkapi konsol tengah pelbagai fungsi yang menyediakan banyak ruang simpanan, pengecas Qi 50-watt dan tiga pemegang cawan tarik keluar. Sistem infotainmennya serupa dengan Dongfeng 007, iaitu paparan instrumen 8.8-inci dan skrin sesentuh 12.8-inci yang menyokong Apple CarPlay (tanpa wayar) dan Android Auto (wayar).
Tempat duduk hadapan menawarkan pelarasan kuasa enam hala, fungsi liang udara dan memori untuk pemandu, dengan kemasan kulit sintetik. Seperti model 007, penyaman udara hanya satu zon dan stereng hanya boleh dilaras secara mencondong tanpa larasan teleskopik. Lampu ambient pula boleh diubah mengikut tema, termasuk fungsi “ritma” yang biasa ditemui pada kereta buatan China.
Ada enam pilihan warna badan disediakan untuk Vigo, terdiri daripada — Arctic White, Titanium Silver, Sandstone Beige, Mosswood Green, Canyon Orange dan Cyber Black. Sementara untuk kabin dalaman datang dalam gabungan warna hitam dan kelabu cerah.
The post Dongfeng Vigo dilancarkan di Malaysia — satu varian, 51.87 kWh dengan jarak 471 km CLTC, harga RM100k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


























































