Tahun Baharu Cina bakal disambut pertengahan bulan ini, disusuli dengan bulan Ramadan Al-Mubarak yang menandakan Hari Raya Aidilfitri juga bakal menjelma tidak lama lagi. Bagi meraikan sambutan perayaan ini pasti ada yang teringin memiliki kereta baharu. Tepat pada masanya kerana Honda Malaysia sedang menganjurkan kempen promosi bagi bulan Februari 2026 dengan beberapa penawaran menarik.
Promosi ‘Fun Starts with Honda’ yang dianjurkan ini menawarkan diskaun sehingga RM60,000 dan anda boleh memilih sama ada kereta buatan tahun 2025 (MY2025) atau pun stok baru tahun 2026 (MY2026). Kedua-duanya diberikan diskaun, tetapi penawaran yang menarik pastinya dengan kereta dari stok tahun lalu. Bermula dengan Civic Type R yang diberikan rebat sebanyak RM60,000, sementara EV e:N1 pula diberikan potongan hingga RM34,000, untuk harga RM115,900. Promosi bagi kedua-dua model ini adalah sama seperti bulan lalu.
Honda Malaysia juga tidak melupakan model CKD, di mana lima varian City sedan menerima diskaun sebanyak RM11,000, dan RM8,000 pula untuk City Hatchback. Manakala WR-V pula diberikan rebat dari RM8,000 untuk varian V hingga RM11,000 bagi RS, manakala dua lagi varian lain dengan diskaun sekitar RM9,000.
Bagi HR-V pula, ia diberikan diskaun sebanyak RM12,000 untuk varian asas S dengan enjin NA dan V bersama enjin turbo, sementara RS Hybrid pula diberikan rebat RM13,000. Sementara bagi CR-V dan Civic pula, masing-masing diberikan diskaun hingga RM18,000 (kecuali RS hybrid dengan RM13,000) dan rebat berjumlah RM15,000 (kecuali varian asas E dengan diskaun RM13,000 dan 1.5T RS dengan RM10,000).
Jika anda mahukan model buatan tahun 2026, diskaun sebanyak RM6,000 diberikan untuk semua varian City dan WR-V, RM4,000 bagi City Hatchback, RM5,000 hingga RM7,000 untuk HR-V, RM10,000 untuk CR-V (varian RS hybrid dengan RM8,000) dan Civic pula dengan RM5,000. Semak senarai penuh di atas.
Semua diskaun yang diberi ini adalah untuk kenderaan yang didaftarkan sekarang hingga 28 Februari 2026. Walau bagaimana pun, diskaun untuk unit MY2025 bagi City 1.5L RS (dengan kamera 360-darjah), Civic 1.5T RS, HR-V V dan CR-V E akan berakhir pada 16 Februari ini.
The post Honda Malaysia anjur promo Feb 2026 dengan diskaun hingga RM60k – RM34k untuk e:N1, CR-V dapat RM18k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















