Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneliti semula tawaran diskaun saman yang diberikan kepada kenderaan asing termasuk Thailand, laporan Bernama

Menterinya, Anthony Loke, berkata tawaran yang diperkenalkan sebelum ini membabitkan kesalahan tidak memiliki permit peredaran antarabangsa (ICP) dan kesalahan lain adalah budi bicara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), khususnya bagi menggalakkan pembayaran saman dalam tempoh ditetapkan.

“Situasi kemasukan kenderaan asing sememangnya berlaku di negeri bersempadan Malaysia-Thailand dan pada masa ini pemandu kenderaan asing yang melakukan kesalahan serta melunaskan saman dalam tempoh ditetapkan layak menerima diskaun hingga 50%.

“Bagaimanapun, sekiranya pendekatan ini didapati tidak mencapai keberkesanan yang diharapkan, kementerian akan meneliti semula mekanisme tersebut khusus untuk kenderaan asing. Kita akan mengadakan perbincangan lanjut dengan JPJ bagi menilai langkah penambahbaikan yang sesuai,” katanya.

Baru-baru ini, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata pihaknya mengutip sebanyak RM5.59 juta menerusi Ops Tunggak Kenderaan Thailand sejak 2023 dengan sebuah van dikesan mempunyai kesalahan paling banyak iaitu 45 saman.

The post MOT teliti semula diskaun saman kenderaan asing appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts