Memasuki tahun 2026 ternyata langkah Proton kian kencang dan padu, termasuk menyasarkan 26% peningkatan jualan iaitu sebanyak 200,000 unit. Walau pun Saga baharu yang dilancarkan pada akhir lalu nampak gayanya mampu melonjakkan lagi jenama ini, namun ini tidak bermakna Proton perlu berpeluk tubuh sahaja, sebaliknya giat merancang untuk pengeluaran produk baharu.
Dalam majlis bersama pihak media malam tadi, CEO Dr Li Chunrong mengesahkan bahawa model seterusnya yang dibina berasaskan Advanced Modular Architecture (AMA), dengan kod nama AMA02, akan dilancarkan pada tahun ini.
Setakat ini, tiada butiran lanjut didedahkan, namun Proton sebelum ini telah memaklumkan bahawa platform tersebut akan menghasilkan varian SUV dan MPV, yang berkemungkinan mensasarkan pesaing buat Perodua Ativa dan Alza. Kami telah lama membuat spekulasi mengenai ‘Saga Cross’, dengan pakar suntingan Photoshop, Theophilus Chin, menghasilkan pelbagai imej olahan, termasuk beberapa lakaran yang baru dikongsikan minggu ini.

Model tersebut dijangka dikuasakan oleh enjin i-GT 1.5 liter NA empat-silinder seperti Saga yang menghasilkan 120 PS/150 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik Aisin empat-kelajuan. Turut ditawarkan ialah pilihan versi plug-in hybrid yang kurang berkuasa, berasaskan rangkaian kuasa eMas 7 PHEV — sesuatu yang juga dirancang untuk ditawarkan pada varian MPV. Penjenamaan ‘DHT120’ menunjukkan output gabungan sebanyak 163 PS (120 kW)
Untuk model AMA yang akan datang ini, Proton turut menjanjikan pelbagai perkara yang pastinya mampu memberikan manfaat, termasuk sasaran untuk mendapatkan penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP, binaan suspensi yang disemak semula bagi meningkatkan keselesaan dan pengendalian, tempoh pembangunan produk yang lebih singkat serta kesediaan untuk pasaran eksport, termasuk sokongan bagi penukaran pemanduan sebelah kiri. Kesemua model ini dijangka dijual pada harga di bawah RM80,000.
Namun realitinya, jika Proton benar-benar mahu merampas takhta jualan daripada Perodua, di mana sesuatu yang perlu dilakukan untuk mencapai sasaran jualan yang tinggi ialah Proton perlu ‘merampas populariti’ model hatchback keluaran Perodua. Tahun lalu, Axia dan Myvi berada di belakang Bezza, manakala Alza dan Ativa pula di tempat kelima dan keenam iaitu di belakang Saga.

Oleh itu, Saga versi hatchback merupakan langkah akan datang yang dilihat bertepatan, sekali gus meluaskan daya tarikan sedan tersebut di samping (hanya anggapan semata-mata) mudah untuk dibangunkan. Ini kerana struktur sedia ada sebenarnya dibangunkan sebagai hatchback terlebih dahulu.
Sekiranya ia menjadi kenyataan, model ini dijangka menggunakan rangkaian kuasa yang sama seperti sedan, termasuk enjin 1.5 liter dan padanan transmisi automatik empat-kelajuan yang disebutkan sebelum ini, serta Punch CVT bagi varian Premium.
The post Proton AMA02 dilancar pada 2026 – Saga Cross SUV, MPV atau hatchback, hibrid DHT120 bakal diperkenal? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















