Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mengubah pendekatan dalam pelaksanaan sekatan jalan raya bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
Menurut laporan Bernama, beliau menjelaskan bahawa sekatan jalan raya secara fizikal yang diamalkan ketika ini sering menyebabkan kesesakan teruk, terutamanya apabila laluan jalan dikecilkan kepada satu atau dua lorong sahaja.
Keadaan itu bukan sahaja mengakibatkan kelewatan yang panjang, malah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna jalan raya. Loke menegaskan beliau tidak mahu melihat sekatan jalan raya dilakukan selepas plaza tol sehingga enam lorong terpaksa disempitkan kepada satu lorong, sambil menyifatkan kaedah tersebut sebagai lapuk dan tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penggunaan teknologi pengecaman nombor pendaftaran automatik atau Automatic Number Plate Recognition (ANPR) sebagai alternatif yang lebih pintar, bagi membolehkan pemeriksaan kenderaan dilakukan tanpa perlu menghentikan aliran trafik.
Loke berkata sistem ANPR yang kini digunakan oleh PLUS Malaysia boleh diintegrasikan dengan sistem MySikap milik JPJ, sekali gus membolehkan perkongsian data antara agensi dilaksanakan untuk penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan berkesan tanpa bergantung kepada sekatan jalan raya fizikal.
ANPR pada masa ini digunakan oleh PLUS bagi sistem pembayaran tol terbuka dan berfungsi melalui penggunaan kamera untuk mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan. Dengan integrasi bersama MySikap, teknologi ini bukan sahaja dapat melancarkan proses kutipan tol, malah membolehkan pihak berkuasa mengesahkan status cukai jalan dan insurans secara automatik, selain mengesan kenderaan curi atau tidak berdaftar.
Tambah Loke, pendekatan berasaskan teknologi ini selari dengan strategi keseluruhan kerajaan yang menggalakkan kerjasama rentas kementerian serta menghapuskan jurang operasi antara agensi, demi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.
The post JPJ patut guna sistem ANPR ganti sekatan jalan bagi kurangkan kesesakan, tambah kecekapan – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















