Honda Malaysia mengumumkan jualan sebanyak 72,301 kenderaan sepanjang tahun 2025, sekali gus membolehkannya mengekalkan kedudukan sebagai jenama nombor satu dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional buat tahun ke-12 berturut-turut.
Berdasarkan jumlah keseluruhan 820,752 kenderaan baru yang didaftarkan tahun lalu seperti dilaporkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), prestasi Honda Malaysia itu mewakili pegangan pasaran sebanyak 8.8 peratus. Sebagai perbandingan, syarikat tersebut mencatatkan jualan 81,600 unit pada tahun 2024.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki, merakamkan penghargaan kepada para pelanggan atas sokongan dan kepercayaan berterusan terhadap jenama Honda, yang menurutnya menjadi pemangkin kepada syarikat untuk terus meningkatkan kualiti dan prestasi produk.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan serta kerajaan Malaysia atas sokongan berterusan, khususnya dalam usaha kelestarian dan elektrifikasi. Menurutnya, prestasi kukuh yang dicapai pada 2025 telah mengukuhkan keyakinan Honda terhadap hala tuju produk syarikat dan mempertegaskan komitmen untuk menawarkan penyelesaian elektrifikasi yang praktikal kepada pengguna tempatan.
Dari segi model, HR-V muncul sebagai kenderaan terlaris Honda Malaysia pada 2025 dengan menyumbang 25 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan. Ini diikuti oleh City yang mencatatkan 24 peratus dan CR-V sebanyak 15 peratus.
Varian hibrid bagi HR-V dan CR-V turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menyumbang lebih 30 peratus daripada jumlah jualan kenderaan hibrid Honda Malaysia. Ketika ini, Honda menawarkan varian hibrid bagi lima daripada lapan model yang dipasarkan, kecuali WR-V, Civic Type R dan e:N1, iaitu model elektrik sepenuhnya pertama Honda di Malaysia.
Mengulas lanjut, Yazaki berkata pengukuhan kehadiran model hibrid dalam segmen utama pasaran kekal sebagai keutamaan, sejajar dengan ulang tahun ke-21 pengenalan teknologi hibrid Honda dari 2004 hingga 2025. Melalui integrasi teknologi hibrid termaju, Honda berhasrat untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih menarik dan memuaskan, di samping menyokong pertumbuhan jangka panjang serta masa depan yang lebih mampan bagi jenama tersebut.
The post Honda Malaysia jual 72,301 unit pada tahun 2025 – jenama bukan nasional teratas kali ke-12 berturut-turut appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















