Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini sedang merangka undang-undang baharu bagi menguatkuasakan larangan khusus terhadap pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berpendaftaran asing di stesen-stesen minyak.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. Menurutnya langkah itu melibatkan pengenalan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961, bagi memperkukuh kawalan terhadap penyaluran subsidi petrol RON95.

“Ini kerana kerangka perundangan sedia ada, iaitu di bawah Peraturan 12A hanya melibatkan larangan terhadap penjualan, maksudnya tindakan hanya boleh diambil terhadap stesen minyak dan bukannya kepada pemilik ataupun pembeli yang menggunakan pendaftaran kenderaan warga asing.

“Jadi melalui peraturan baharu yang sedang kita rangka ini, larangan itu akan bukan sahaja melibatkan penjualan tetapi juga pembelian, maksudnya mereka yang membeli, pemilik ataupun pemandu yang menggunakan kenderaan pendaftaran asing juga boleh dikenakan tindakan,” jelasnya.

Tambah beliau lagi dalam menjawab soalan tambahan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai penguatkuasaan khusus atau tambahan untuk mengekang ketirisan subsidi RON95 khususnya di stesen minyak di kawasan sempadan, KPDN kini sedang melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan menyasarkan peraturan baharu itu dapat dimuktamadkan dan dikuatkuasakan bermula 1 April ini.

Manakala bagi memastikan pemantauan dan penguatkuasaan subsidi RON95 pada peringkat runcit, Armizan berkata antara langkah yang telah dilaksanakan KPDN adalah pemeriksaan berkala di stesen minyak bagi memastikan pematuhan mekanisme penggunaan kad pengenalan dan penguatkuasaan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing.

Selain itu, penguatkuasaan kawalan pembelian luar tangki dengan larangan penjualan melebihi 20 liter tanpa permit khas dan pemantauan berkala melalui buku log dan peti lawatan di stesen minyak bersempadan.

The post KPDN akan perkenal peraturan baru untuk hukum pemilik kenderaan asing beli RON 95 1 April ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts