Jetour T1 berjaya meraih penarafan keselamatan lima bintang penuh daripada ASEAN NCAP, menyusuli kejayaan model seangkatannya, Jetour T2, yang menerima pengiktirafan sama awal bulan ini. Pencapaian tersebut mengukuhkan kedudukan jenama berkenaan dalam aspek keselamatan kenderaan di rantau ASEAN.
Menurut kenyataan rasmi ASEAN NCAP, Jetour T1 diuji menggunakan protokol penilaian 2021–2025 yang kini telah dihentikan. Bermula tahun ini, semua penilaian baru akan dijalankan di bawah protokol 2026–2030 yang menggantikan piawaian lama tersebut. Seperti T2, T1 sempat dinilai sebelum peralihan sepenuhnya kepada protokol baru.
Ujian keselamatan Jetour T1 dijalankan oleh China Automotive Engineering Research Institute (CAERI). Varian yang diuji dilengkapi enjin petrol 2.0 liter turbo berkuasa 254 PS dan tork 390 Nm, manakala pasaran China turut ditawarkan pilihan enjin 1.5 liter turbo dengan output 184 PS dan 290 Nm.
Laporan ASEAN NCAP bagi T1 turut menyenaraikan Malaysia di bawah kategori “pengeluaran ASEAN lain”, sekali gus memberi petunjuk bahawa model ini berpotensi dipasang secara tempatan atau CKD.
Dari segi keputusan penilaian, Jetour T1 mencatatkan 30.47 mata daripada maksimum 32.00 mata bagi perlindungan penumpang dewasa, 41.26 mata daripada 51.00 mata untuk perlindungan penumpang kanak-kanak, 18.00 mata daripada 21.00 mata bagi sistem bantuan keselamatan, serta 13.00 mata daripada 16.00 mata dalam penilaian keselamatan penunggang motosikal.
Dalam penilaian perlindungan penumpang dewasa, ruang kabin hadapan T1 memberikan perlindungan mencukupi kepada bahagian dada, kaki kiri dan tapak kaki pemandu, selain perlindungan memadai untuk kaki kiri penumpang hadapan. Penarafan “baik” turut direkodkan bagi bahagian lain kabin hadapan dalam ujian hentaman hadapan, serta dalam ujian hentaman sisi.
Bagi perlindungan penumpang kanak-kanak pula, Jetour T1 memperoleh 22.88 mata dalam segmen ujian dinamik, 8.00 mata dalam penilaian berasaskan kenderaan, 9.39 mata bagi pemasangan kerusi kanak-kanak, serta 1.00 mata untuk sistem pengesanan kanak-kanak.
Dari sudut bantuan keselamatan, model yang diuji dilengkapi sistem brek kecemasan autonomous atau AEB serta ciri bantuan pemanduan termaju seperti amaran keluar lorong, amaran pelanggaran hadapan dan bantuan kekal lorong sebagai ciri pilihan. Sistem keselamatan asas seperti ABS, ESC, peringatan tali pinggang keledar dan pengesanan kehadiran penumpang belakang pula adalah ciri standard bagi semua varian.
Secara keseluruhan, Jetour T1 mencatatkan penarafan lima bintang bagi setiap kategori penilaian utama ASEAN NCAP. Dengan skor wajaran keseluruhan sebanyak 87.67 mata, SUV ini disahkan meraih penarafan lima bintang ASEAN NCAP, sekali gus menampilkan tahap keselamatan yang kompetitif dalam segmennya.
The post Jetour T1 raih ASEAN NCAP lima-bintang – akan tiba di Malaysia tidak lama lagi, dipasang dalam negara? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






















