Selepas Proton Saga MC3 dilancarkan, ada satu lagi model yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia iaitu Saga Cross. Proton sebenarnya masih belum secara rasmi mengumumkan nama “Saga Cross” ini, namun ia sudah menjadi buah mulut orang ramai. Malah Proton sendiri telah memberikan bayangan bahawa selain Saga, satu lagi model berasaskan platform AMA akan dilancarkan selepas dan ia merupakan sebuah SUV dengan harga lebih mampu milik.

Dengan dibina berasaskan platform yang sama dengan Saga menguatkan lagi teori bahawa SUV tersebut bakal di kenali dengan nama Saga Cross. Sebelum ini pakar manipulasi automotif tempatan, Theophilus Chin ada menghasilkan bayangan digital Saga Cross berkenaan, dan terbaharu Theo sekali lagi hadir dengan bayangannya terhadap SUV mampu milik tersebut yang dilihat mungkin lebih logik hadir sebagai model produksi sebenar kelak.

Kali ini Theo menggunakan Fiat Pulse sebagai asas rekaannya, kemudian memadankan perincian dari Saga MC3 termasuk lampu dan gril hadapan, cermin sisi dan juga lampu belakang dengan jalur LED merentangi sepenuhnya penutup but belakang.

Proton Saga Cross – satu lagi bayangan digital muncul, perincian dari Saga MC3; 1.5L NA 4AT Aisin?

Perincian-perincian lain seperti pelindung-pelindung badan dan rekaan bampar hadapan dan belakang adalah masih asli dari Fiat Pulse, dan ia kelihatan ngam dengan perincian-perincian dari Saga MC3.

Ketika acara Proton Tech Showcase berlangsung di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) di Subang Jaya akhir tahun lalu, salah satu dari pembentangan yang dibuat oleh Proton mengesahkan bahawa akan ada tiga model lagi disahkan akan dibina menerusi platform AMA yang setakat ini hanya dikenali sebagai AMA02, AMA05 dan AMA06. Proton menyatakan antara tiga model tersebut, ia akan tampil sebagai SUV dan juga MPV.

Manakala ketika pembentangan berkenaan enjin 1.5L empat-silinder i-GT, Proton ada mendedahkan sedikit pembayang berkenaan salah satu SUV yang akan diasaskan dari platform AMA tersebut akan menerima enjin berkenaan dalam varian NA dengan sistem suntikan bahan api pada port kemasukan (PFI). Tidak seperti Saga MC3 di mana ia datang dengan pilihan kotak gear sama ada CVT atau empat-kelajuan konvensional 4AT, unit rangkaian kuasa yang bakal dimuatkan pada SUV baharu tersebut hanyalah transmisi 4AT.

Proton Saga Cross – satu lagi bayangan digital muncul, perincian dari Saga MC3; 1.5L NA 4AT Aisin?

Maklumat-maklumat yang didedahkan ini seakan menguatkan khabar angin yang bertiup sebelum ini bahawa model dengan kod AMA02 yang akan diperkenalkan oleh Proton selepas ini adalah Proton Saga Cross. Jadi sekiranya model ini benar-benar dijelmakan kelak, ia akan dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm serta hanya hadir dengan kotak gear 4AT dari Aisin.

Berdasarkan perincian-perincian yang telah diberikan pada Saga MC3, tak mustahil Saga Cross ini juga mungkin akan hadir dengan kelengkapan keselamatan yang merangkumi enam-beg udara dan juga pelbagai fungsi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS). Dengan kelengkapan dan perincian yang ditawarkan tersebut, mungkin Proton mensasarkan Saga Cross ini untuk berhadapan terus dengan Perodua Ativa.

Proton juga sebelum ini telah mengesahkan bahawa model-model berasaskan platform AMA ini bukan hanya akan menjadi ‘jaguh kampung’ kerana ia disasarkan pada pasaran global. Saga MC3 misalnya, ia bukan hanya akan menggantikan model MC2 yang telah berada di beberapa pasaran eksport, malah turut akan di’rebadge’ dengan lencana Geely untuk dijual dipasaran yang hanya ada jenama China tersebut, dengan Filipina telah pun disahkan akan menjadi antara pasaran awal Saga MC3 yang dijual sebagai Geely berkenaan.

The post Proton Saga Cross – satu lagi bayangan digital muncul, perincian dari Saga MC3; 1.5L NA 4AT Aisin? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts