Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah menyita sebuah Perodua Kelisa di Jalan Ekor Kucing–Padang Serai, Kulim, baru-baru ini kerana ia didapati telah diubahsuai dari segi struktur dan peralatan kenderaan tanpa kelulusan yang sah, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
“Tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan pengeluaran Notis Saman P22 di lokasi kejadian selain Notis PG1 serta Notis Arah Periksa di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan kenderaan tersebut berada di atas jalan raya dalam keadaan tidak mematuhi spesifikasi asal.
“JPJ menegaskan bahawa pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya,”kata JPJ Kedah menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya.
Ini bukan kes pertama yang melibatkan ‘Kelisa Gino’. Hampir setahun yang lalu, JPJ Perak telah menyaman pemilik ‘Kelisa Gino’ kerana selain mengubahsuai kepada Daihatsu bergaya retro yang comel, dia turut memasang enjin 1.3 liter ke dalamnya tanpa kelulusan (Kelisa tidak pernah keluar dari kilang dengan enjin melebihi 1,000 cc).
The post JPJ Kedah sita ‘Kelisa Gino’ yang dimodifikasi tanpa kelulusan, langgar peruntukan undang-undang appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















