BYD telah mengumumkan bahawa Atto 3 Ultra masih ditawarkan dalam versi bebas cukai pada harga promosi RM105,800. Walau bagaimana pun, stok adalah terhad. Selain itu, BYD turut memperkenalkan warna baharu bagi SUV EV ini iaitu Atlantis Grey, yang melengkapkan tiga pilihan sedia ada – Ski White, Harbour Grey dan Cosmos Black.
Jika dilihat dengan pandangan mata kasar, Atlantis Grey kelihatan seperti rona biru berbanding kelabu, dan sebelum ini ia telah pun digunakan pada model BYD seperti Seal, Sealion 7 dan Dolphin.
BYD Atto 3 Ultra dilancarkan di Malaysia pada Mac 2025. Ia merupakan versi yang dikemas kini daripada varian Extended Premium sebelum ini, diberikan kemasan baharu dan lebih banyak kelengkapan serta harga yang lebih rendah (dari RM118,800) bagi bersaing dengan Proton eMas 7, yang penghantarannya bermula pada awal tahun 2025.
Ciri kelengkapan yang dikemaskini termasuklah rekaan baharu bagi roda 18-inci, sedikit perubahan pada lampu utama dan kemasan hitam di bahagian bahawa bagi menggantikan rona perak. Di dalamnya, ia diberikan upholstery hitam (tiada lagi rona biru) dengan kontras kuning (sebelum ini merah). Hiasan ala ‘tali gitar’ pada poket pintu kini juga berwarna hitam berbanding merah pada versi sebelumnya. Begitu juga dengan tempat duduk berliang dan kunci digital NFC yang menjadi antara ciri baharu untuk SUV EV ini.
Walau bagaimana pun, tiada perubahan untuk bahagian mekanikalnya. Ia masih menggunakan sebuah motor di hadapan yang menghasilkan 204 PS (150 kW) dan 310 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat. SUV ini juga masih diberikan bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade 60.48 kWh dengan jarak 420 km WLTP. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC 88 kW, membolehkan bateri dicas dari 10%-80% dalam masa 40 minit. Bagi pengecasan AC, input maksimum sama seperti sebelum ini dengan 7 kW yang memerlukan sembilan jam 42 minit untuk pengecasan penuh.
GALERI: BYD Atto 3 Ultra 2025
The post BYD Atto 3 Ultra dapat pilihan warna baharu Atlantis Grey – stok bebas cukai terhad berharga RM105,800 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.































































































