Selepas hampir tiga tahun didedahkan kepada dunia, Kawasaki ZX-4R kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia, ditawarkan dalam dua versi iaitu ZX-4R SE pada harga RM40,999 dan ZX-4RR pada RM42,999. Harga ini adalah tidak termasuk pendaftaran dan insurans.
Binaan asas dua versi ini adalah sama, bermula dengan enjin iaitu unit empat silinder 399 cc DOHC, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan sehingga 77 PS pada 14,500 rpm dan 80 PS apabila salur udara Ram-air cukup padat. Tork adalah 39 Nm pada 13,000 rpm.
Tidak cukup dengan itu, ia juga dilengkapi dengan sistem elektronik moden termasuk quickshifter (naik dan turun), panel meter TFT 4.3 inci, kawalan cengkaman Kawasaki Traction Control (KTRC) tiga tahap, brek ABS serta pilihan mod tunggangan Sport, Road, Rain dan Rider.
Dengan kuasa yang tinggi pada badan kompak sama seperti ZX-25R, Kawasaki tidak berkompromi dengan ciri keselamatan dengan memberikan tetapan brek cakera 257 mm berkembar bersama angkup empat piston di hadapan, cakera tunggal 186 mm dengan angkup satu piston di belakang serta rim 17 yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.
Perincian lain ZX-4R adalah termasuk semua lampu jenis LED, tangki bahan api 15 liter, berat keseluruhan 189 kg, tinggi tempat duduk 800 mm, serta skrin TFT yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Rideology.
ZX-4R SE ditawarkan dalam warna Metallic Moondusty Gray/Metallic Spark Black dan Blizzard White/Spark Black, manakala ZX-4RR tersedia dalam warna Lime Green/Ebony. Selain warna, ZX-4RR juga dipertingkat dengan monoshock boleh laras Showa BFRC-lite (Balance Free Rear Cushion) serta talaan yang lebih agresif.
GALERI: Kawasaki Ninja ZX-4R SE
GALERI: Kawasaki Ninja ZX-4RR
GALERI: Kawasaki Ninja ZX-4RR di Bangkok International Motor Show
The post Kawasaki Ninja ZX-4RR, ZX-4R SE dilancar di Malaysia – enjin empat silinder 399 cc, harga dari RM40,999 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.











































