Minggu lalu Volvo telah mengumumkan panggilan semula terhadap model EX30 di seluruh dunia, di mana ia berpotensi menyebabkan kebakaran. Wakilnya di Malaysia iaitu Volvo Car Malaysia (VCM) tidak berlengah turut mengumumkan perkara yang sama, dan ketika pelancaran Volvo ES90 semalam, syarikat itu berkongsi beberapa butiran lagi berkenaan perkara tersebut.
Kerika menjawab soalan kami berkenaan panggilan semula ini, pengarah urusan VCM Chris Wailes memberitahu bahawa ia hanya melibatkan beberapa kumpulan EX30 yang diproduksi antara 2024 dan 2025 dengan jumlah tidak sampai 200 unit, dan ia dibuat hanya sebagai langkah pencegahan.
Ini kerana VCM sendiri tidak mengetahui berapa unit kenderaan yang mengalami masalah tersebut, jadi kesemua unit dalam kumpulan produksi berkenaan dipanggil untuk diperiksa bagi tujuan berjaga-jaga.
“Untuk memastikan keselamatan, kerana kami adalah Selamat, itu yang kami lakukan,” kata Wailes. “Kami tak boleh cakap ‘Volvo dikenali kerana keselamatan’ dan kemudian duduk tak buat apa-apa, jika kami percaya ada potensi kecil – potensi yang sangat kecil – dari masalah itu. Adalah lebih baik untuk bertindak dan telus berkenaan perkara tersebut, dan itu yang kami buat,” tambahnya.
Buat masa sekarang masih lagi belum ada garis masa yang menyatakan bila langkah pembaikan muktamad akan disediakan, namun Wailes menjelaskan bahawa “ketika kita sedang bercakap, ada sepasukan kakitangan R&D di Gothenburg secara aktif, 24/7, bekerja untuk menyediakan pembaikan tersebut,” dan VCM akan memberikan lebih maklumat sebaik sahaja diterima.
Beliau menambah bahawa VCM telahpun memberitahu pemilik-pemilik kumpulan terlibat berkenaan panggilan semula ini, dan menegaskan hanya mereka terjejas akan menerima surat. “Yang lain, kereta baru yang anda tengok hari ini, ia datang dengan bateri yang berlainan dan tidak terjejas.”
Secara spesifiknya panggilan semula ini adalah melibatkan bateri nikel mangan kobalt (NMC) 69 kWj yang dibekalkan pada EX30 akan menjadi terlampau panas apabila di cas semula pada kadar tinggi, namun ia adalah sangat jarang untuk terjadi.
Dalam keadaan yang paling teruk, ia mungkin akan memulakan kebakaran pada bateri. Menurut Volvo kejadian yang sudah berlaku direkodkan dalam jumlah yang sangat sedikit, dan unit-unit yang telah dikenalpasti terjejas hanyalah 0.02% dari jumlah keseluruhan EX30 yang telah terjual. Volvo juga mengesahkan tiada laporan yang melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa dicatatkan setakat ini.
Sebelum langkah pembaikan diumumkan, Volvo menasihatkan pemilik agar tidak mengecas bateri pada EX30 masing-masing pada kadar melebihi 70%. Had pengecasan berkenaan boleh dibuat menerusi pelarasan Charging dalam menu pada skrin infotainmen.
Volvo EX30 diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama dan menggunakan sistem mekanikal yang serupa dengan smart #1, smart #3 dan Zeekr X. Namun masih belum diketahui adakah panggilan semula ini turut akan melibatkan model-model tersebut.
The post Panggilan semula Volvo EX30 di Malaysia – tak sampai 200 unit terjejas, pemilik-pemilik sudah diberitahu appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















