Toyota secara rasmi melancarkan model edisi terhad Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition – model ini sebenarnya sudahpun didedahkan di Tokyo Auto Salon di Jepun dua minggu lalu, namun pelancaran rasminya untuk peringkat global hanya dibuat semalam, iaitu hari permulaan pusingan pertama Kejohanan Rali Dunia (WRC) musim ini di Rally Monte Carlo 2026.
Jangan keliru dengan GR Yaris Sebastien Ogier Edition yang dilancarkan pada tahun 2024, kerana GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition ini adalah versi baharu untuk meraikan gelaran juara dunia ke-9 yang dinobatkan kepada pemandu rali kelahiran Perancis itu dalam WRC 2025.
Ogier merampas semula takhta kejuaraan tersebut pada musim lalu walaupun hanya memandu untuk pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR-WRT) secara sambilan iaitu hanya dalam 11 dari 14 pusingan yang dipertandingkan, di mana beliau memperolehi 10 kedudukan podium dan menang enam perlumbaan. Rekod baharu ini membolehkan Ogier menyamai rekod seorang lagi pelumba Perancis yang turut bergelar juara dunia sebanyak sembilan kali iaitu Sebastien Loeb.
Berbalik kepada model edisi terhad bagi meraikan kejayaan tersebut ini, ia diasaskan dari GR Yaris Aero Performance Package yang diperkenalkan di Jepun pada September tahun lalu, kemudian ditambah dengan perincian-perician dengan input dan ‘selera’ dari Sebastien Ogier sendiri.
Jadi model ini menerima kit aero yang dibina oleh pasukan TGR dan juga input dari pelumba ketika berlumba dalam perlumbaan endurance siri Super Taikyu dan juga perlumbaan rali di Kejohanan Rali Jepun (JRC), yang terdiri dari penutup hud hadapan aluminium dengan liang aliran udara, spoiler bawah bampar hadapan, liang pengalir udara pada kedua-dua fender hadapan, spoiler belakang lebih besar dengan sudut sayap yang boleh dilaras dan juga sepasang liang pengalir udara pada bampar belakang.
Kemudian badan model istimewa ini dilayangkan dengan warna Black Gravite, sempena warna utama hitam matte pada livery perlumbaan jentera rali GR Yaris Rally1 yang dipandu oleh Ogier dalam WRC musim lalu. Rim aloi GR Yaris ini juga datang dalam kemasan hitam matte, dengan angkup brek yang diserlahkan dengan warna biru signatur Ogier. Lencana berwarna biru-putih-merah turut diberikan pada gril hadapan bagi melambang bendera Perancis.
GR Yaris istimewa ini turut menerima pelekat dengan grafik Toyota Gazoo Racing istimewa yang diposisikan pada bahagian bawah sisi badan. Ia juga datang dengan cermin hadapan yang mempunyai tandatangan ‘Morizo’, iaitu nama samaran bagi pengerusi Toyota, Akio Toyoda yang juga merupakan ‘Master Driver’ Gazoo Racing.
Dalam kabin, Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition ini diberikan roda stereng yang sama seperti satu lagi model edisi khas yang didedahkan di TAS 2026 iaitu GR Yaris Morizo RR. Roda stereng tersebut menampilkan diameter lebih kecil, diberikan modul beg udara berbeza dan diberikan logo ‘GR’ di tengah, bersama suis-suis kawalan dengan kedudukan seperti kereta lumba sebenar yang didakwa dipelajari dari suis-suis kawalan pada roda stereng jentera rali GR Yaris Rally2.
Namun apa yang berbeza, roda stereng pada GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition ini dibalut dengan kulit (balutan sued pada Morizo RR) bersama serlahan jahitan dengan benang berwarna biru-putih-merah. Juga model istimewa ini datang standard dengan tuil brek tangan menegak ala-kereta rali sebenar (ia adalah perincian opsyenal untuk GR Yaris varian RC di Jepun) yang turut dibalut kulit dengan serlahan benang biru-merah-putih.
Kokpit model istimewa ini dilengkapkan dengan plat nombor siri unik bersama grafik memperingati kejayaan Sebastien Ogier yang dilekat pada papan pemuka sebelah penumpang.
Tiada perubahan angka kuasa dinyatakan, di mana GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition ini masih dibekalkan dengan enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama, menghasilkan kuasa 304 PS dan tork maksima 400 Nm. Tiada varian dengan kotak gear automatik GR DAT lapan-kelajuan ditawarkan, di mana model edisi terhad ini hadir eksklusif dengan kotak gear manual enam-kelajuan.
Walaupun masih dibekalkan dengan jumlah kuasa yang sama, model edisi istimewa ini masih diberikan talaan prestasi khas iaitu pada sistem pacuan semua roda GR-Four dengan menampilkan dua mod istimewa iaitu mod ‘SEB’ dan mod ‘MORIZO’ bagi menggantikan mod Track dan Gravel pada versi biasa.
Untuk SEB, agihan tork akan diberikan sebanyak 40% pada gandar hadapan dan 60% pada gandar belakang bagi membolehkan kawalan kereta di selekoh dibuat menerusi kuasa pada gandar belakang, dalam masa yang sama mengekalkan kadar responsif pada roda stereng.
Menurut Toyota mod SEB ini dihasilkan bersama Sebastien Ogier bagi mensasarkan catatan masa lebih pantas dibuat dalam perlumbaan dengan meningkatkan rasa bersatu antara pemandu dan kereta ,serta memberikan kawalan kereta lebih baik pada kelajuan tinggi.
Manakala untuk mod MORIZO pula ia merupakan mod kawalan 4WD yang dibuat dengan memaksimakan hubungan antara gandar hadapan dan belakang bagi mendapatkan cengkaman ketika memecut, dan ‘melonggarkan’ hubungan tersebut ketika membrek bagi memdapatkan prestasi membelok lebih baik.
Mod ini dibina sendiri menerusi ujian-ujian yang dibuat oleh Morizo dalam perlumbaan litar dan rali, dan ia digemari oleh Sebastien Ogier sendiri.
Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition ini hanya dihasilkan sebanyak 200 unit seluruh dunia, di mana 100 unit untuk pasaran Jepun, dan 100 unit lagi untuk diagih-agihkan kepada beberapa negara di pasaran Eropah. Ia akan mula dijual pada musim luruh tahun ini – untuk pasaran Jepun pelanggan yang berminat perlu membuat cabutan menerusi loteri yang boleh dibeli melalui aplikasi “GR App”.
GALERI: Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition di Tokyo Auto Salon 2026
GALERI: Imej rasmi Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition
The post Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition – hanya 200 unit, talaan khas 4WD GR-Four appeared first on Paul Tan’s Automotive News.













































