Hyundai Elexio bakal memasuki pasaran Australia dalam satu varian, Elite, dijual pada harga bermula AUD59,990 (sekitar RM164,793). SUV elektrik segmen C ini dilengkapi motor elektrik tunggal berkuasa 160 kW (218 PS) dan tork 310 Nm yang memacu roda hadapan. Tenaga dibekalkan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 88.1 kWh, memberikan jarak pemanduan sehingga 546 km mengikut piawaian ujian WLTP.
Model ini muncul buat pertama kali pada Julai 2025 dan diletakkan sebagai pencabar kepada SUV elektrik popular seperti BYD Atto 3 yang turut menerima kemas kini mekanikal bagi tahun semasa. Dari segi dimensi, Hyundai Elexio mencatat ukuran panjang 4,615 mm, lebar 1,875 mm dan tinggi 1,675 mm, dengan jarak roda 2,750 mm. Menurut laman web Hyundai Australia, Elexio mampu dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 38 minit menggunakan pengecas pantas 350 kW.
Bagi pasaran Australia, Elexio hadir dengan kelengkapan yang agak menyeluruh termasuk rim aloi 20 inci, pintu belakang berkuasa serta NFC Digital Key 2. Bahagian kabin pula menampilkan skrin infotainmen bersaiz 27 inci, kluster instrumen pemandu bersaiz kecil, pedal penukar untuk kawalan penjanaan semula kuasa brek serta kemasan tempat duduk kulit.
Ciri lain yang turut disertakan adalah tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa, fungsi pemanas dan pengudaraan, stereng dengan fungsi pemanas, pad pengecasan tanpa wayar berkembar di bahagian hadapan, sistem audio enam pembesar suara, lima soket pengecas USB-C, kawalan suara dengan pengecaman empat zon, perkhidmatan kenderaan bersambung BlueLink serta kemas kini perisian over-the-air (OTA).
Hyundai Elexio dibuat di China dan ini bermakna ia berpotensi menikmati kadar cukai import yang lebih kompetitif, sekali gus membuka peluang untuk ditawarkan pada harga menarik di pasaran Malaysia. Kebarangkalian ini dilihat semakin realistik memandangkan model tersebut kini sudah ditawarkan di pasaran pemanduan sebelah kanan seperti Australia.
Sebagai perbandingan, BYD Atto 3 yang ditawarkan di Malaysia dalam satu varian Ultra kini dijual pada harga RM123,800. Sekiranya Hyundai Elexio dibawa masuk ke pasaran tempatan, persoalannya kini ialah berapakah harga yang sesuai untuk SUV elektrik buatan China ini agar mampu bersaing secara langsung dengan pesaing sedia ada.
The post Hyundai Elexio akan mula dijual di Australia – satu varian 218 PS, jarak gerak WLTP 546 km, RM165k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






























