Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan bahawa Lalaport di Bukit Bintang City Centre (BBCC) bakal diberikan kelulusan rasmi sebagai hab pengangkutan awam berlesen, yang memfokuskan perkhidmatan bas dari KL ke Singapura (SG). Lesen berkenaan dijangka akan dikeluarkan seawal Februari ini.
“Dari segi pelesenan, kementerian sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mempercepatkan proses tersebut,” kata Loke, seperti dilaporkan oleh Malay Mail.
Beliau menambah bahawa kelulusan daripada DBKL diperlukan dan APAD akan mengeluarkan lesen setelah semua syarat dipenuhi.
Sebelum ini, katanya, kebanyakan bas ekspres, khususnya antara KL-SG menurunkan penumpang di beberapa lokasi seperti kompleks beli-belah Berjaya Times Square dan hotel tertentu yang dilihat kurang sesuai dan tidak selamat.

Ahli Parlimen Seremban itu turut berkara pengusaha bas ekspres yang mengendalikan perkhidmatan KL–SG telah diberikan tempoh kelonggaran selama tiga bulan untuk terus beroperasi di lokasi tepi jalan sedia ada tanpa tindakan penguatkuasaan. Langkah ini bertujuan memberi masa kepada pengusaha untuk berpindah ke terminal atau hab pengangkutan yang lebih selamat dan direka dengan baik apabila mereka bersedia — dan tiada lagi hentian di tepi jalan pada masa hadapan.
“Buat masa ini, hanya satu atau dua pengusaha telah mula beroperasi dari Lalaport, dengan tiga hingga empat pengusaha lagi dijangka berpindah ke sana dalam tempoh terdekat. Tumpuan utama adalah kepada pengusaha yang sebelum ini berhenti di Berjaya Times Square dan Hotel Corus, yang kedua-duanya telah dikenal pasti sebagai tidak sesuai, terutamanya disebabkan kesesakan lalu lintas dan kebimbangan keselamatan penumpang,” jelas Loke.
Tambah beliau, daripada sejumlah lokasi yang telah dinilai setakat ini, Lalaport didapati paling bersedia dan sesuai, khususnya untuk perkhidmatan bas ekspres KL–SG. “Lokasi lain seperti 1 Utama di PJ, IOI City Mall di Putrajaya dan Sunway Pyramid memerlukan masa tambahan untuk melengkapkan naiktaraf kemudahan,” katanya sambil menambah bahawa Terminal Bersepadu Selatan dan Terminal Bersepadu Gombak lebih fokus pada destinasi lain.
Perkembangan ini pastinya berita baik kepada pengguna tetap bas KL–SG, dan tidak membawa perubahan besar dari segi lokasi menaiki bas. Sebagai sebuah pusat beli-belah, Lalaport menyediakan pelbagai kemudahan F&B serta hanya berjalan kaki ke Bukit Bintang. Malah ia juga berhampiran dengan stesen LRT dan Monorel Hang Tuah.
The post Lalaport BBCC hab baharu bas ekspres KL-SG; teliti lokasi lain termasuk 1 Utama, Sunway Pyramid – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















