Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan bahawa pelaksanaan SmartLane di lebuhraya selamat digunakan dan mengikut protokol keselamatan yang ketat.

“Inisiatif SmartLane merupakan pengaktifan lorong kecemasan untuk kegunaan kenderaan ringan bagi menambah kapasiti laluan, terutamanya semasa waktu puncak atau musim perayaan, bagi mengurangkan kesesakan di lebuhraya. SmartLane adalah satu inisatif “Quick Win, High Impact” yang menggunakan strategi pengurusan trafik yang inovatif tanpa perlu kos yang tinggi untuk penambahan lorong atau pelebaran lebuh raya.

“Bagi memastikan inisiatif ini tidak meningkatkan risiko kemalangan, KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi telah melaksanakan mekanisme pemantauan yang komprehensif iaitu protokol keselamatan yang ketat dipatuhi di mana sebelum sesuatu SmartLane diaktifkan, pasukan peronda akan memastikan tiada halangan atau kenderaan berhenti di lorong kecemasan sebelum ia dibuka,” katanya.

SmartLane di lebuhraya selamat digunakan; kadar kemalangan berkurangan sejak ia diaktifkan – Nanta

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Manndzri Nasib (MP Tenggara) di Dewan Rakyat yang ingin mengetahui mekanisme pemantauan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang serta penggunaan teknologi yang diguna pakai pihak Kementerian bagi memastikan perlaksanaan SmartLane tidak meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

Selain itu, kata Nanta lagi, penggunaan papan tanda makluman diletakkan pada jarak 1 kilometer dan 500 meter sebelum titik mula, serta di dalam kawasan SmartLane untuk memberi panduan jelas kepada pengguna. Malah paparan Variable Messaging Signage (VMS) mudah alih digunakan untuk memaklumkan pengguna mengenai pengaktifan/ penamatan operasi SmartLane. Penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) juga digunakan untuk memantau aliran trafik secara real-time dari semasa ke semasa dari Pusat Pemantauan Trafik (Traffic Management Center (TMC).

“Pihak LLM dan syarikat konsesi juga menjalinkan kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam aspek penguatkuasaan pematuhan penggunaan lorong kecemasan semasa SmartLane diaktifkan bagi memastikan keselamatan aliran trafik yang bercampur termasuk memastikan kenderaan berat tetap berada di lorong perlahan dan tidak menyalahgunakan SmartLane yang dikhaskan untuk kenderaan ringan sahaja,”jelasnya lagi.

SmartLane di lebuhraya selamat digunakan; kadar kemalangan berkurangan sejak ia diaktifkan – Nanta

Nanta turut berkata, secara keseluruhannya, kadar kemalangan di zon SmartLane adalah sangat rendah dan tidak signifikan jika dibandingkan dengan jumlah kenderaan yang melalui zon tersebut.

“Analisis di beberapa lokasi SmartLane umpamanya di laluan Putra Mahkota ke Southville menunjukkan pengurangan sehingga 22% dan di laluan R&R Rawang ke Persimpangan Rawang menunjukkan pengurangan sehingga 74% kemalangan berbanding sebelum pengaktifan SmartLane.

“Majoriti insiden kemalangan yang direkodkan bukan berpunca daripada reka bentuk jalan, sebaliknya disebabkan oleh kecuaian manusia seperti memandu laju di zon SmartLane, pertukaran lorong secara berbahaya tanpa memberi isyarat dan penggunaan lorong kecemasan di luar waktu operasi SmartLane (pencerobohan lorong),” kata Nanta.

The post SmartLane di lebuhraya selamat digunakan; kadar kemalangan berkurangan sejak ia diaktifkan – Nanta appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts