Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Masita Mat Isa, mengesahkan pihaknya sedang membangunkan pangkalan data membabitkan lebih 60,000 pengendali syarikat bas dan lori yang dijangka dilancarkan suku pertama tahun hadapan, laporan Berita Harian.
Menurut beliau, buat masa ini, pangkalan data berkenaan masih dalam peringkat awal iaitu untuk perolehan bajet.
“Pangkalan data ini penting bagi mengumpulkan pemandu bas dan lori yang akan menyatakan seseorang pemandu berkenaan sama ada ‘fit to drive’ atau layak untuk memandu. Jika seseorang pemandu tidak mempunyai rekod dadah atau saman tinggi, maka status mereka adalah layak memandu dan pangkalan data ini juga akan memudahkan syarikat membuat rujukan jika mahu mengambil pemandu,” katanya.

Tambah beliau, pangkalan data berkenaan juga akan dihubungkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kita kini dalam proses mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Kewangan dan sekiranya pangkalan data ini siap lebih awal, maka ia akan dilancarkan lebih awal. Dengan adanya pangkalan data itu, ia dapat memastikan tiada pemandu berisiko di jalan raya,” jelasnya yang menambah nama data berkenaan masih dalam perbincangan.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membangunkan satu sistem pangkalan data membabitkan semua pemandu pengangkutan awam termasuk bas ekspres dan persiaran. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pangkalan data terbabit akan dibina oleh APAD bagi memudahkan pihak berkuasa menyemak rekod lampau pemandu bermasalah, sekali gus menyenarai hitam mereka daripada terus mengendalikan kenderaan awam.
The post APAD sedang bangunkan pangkalan data syarikat bas dan lori – dijangka dilancar pada suku pertama 2027 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















