Pengecualian penuh duti import dan duti eksais bagi kenderaan elektrik (EV) import penuh atau CBU telah berakhir bersama penutup tahun 2025. Bermula 2026, struktur cukai baru kini dikenakan ke atas EV CBU yang dibawa masuk ke Malaysia.
Dalam sesi taklimat semakan prestasi industri 2025 dan unjuran 2026 oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) semalam, pihak MAA menjelaskan secara terperinci kadar cukai yang terpakai. Secara asasnya, EV CBU kini dikenakan duti import sebanyak 30 peratus, duti eksais 10 peratus dan cukai jualan 10 peratus (cukai jualan sebelum ini memang sudah ada). Namun begitu, kadar duti import sebenar bergantung kepada perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dimeterai Malaysia dengan negara atau blok perdagangan tertentu.
Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain, bersama ahli majlisnya mengambil China sebagai contoh, memandangkan sebahagian besar EV CBU di pasaran tempatan diimport dari negara tersebut. Di bawah jadual pengurangan tarif Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), EV yang memasuki rantau ini hanya dikenakan duti import sebanyak lima peratus. Ini menjadikan jumlah cukai untuk EV CBU dari China adalah lima peratus duti import, 10 peratus duti eksais dan 10 peratus cukai jualan, satu kelebihan besar berbanding kadar standard 30 peratus duti import.
Namun, tidak semua FTA menawarkan keistimewaan yang sama. Perjanjian perdagangan bebas antara ASEAN dan Korea Selatan, misalnya, meletakkan kenderaan dalam kategori “sangat sensitif”, menyebabkan duti import kekal pada kadar 30 peratus bagi EV CBU dari jenama seperti Hyundai dan Kia.
Kategori sensitif ini diwujudkan bagi melindungi industri tempatan daripada lambakan import yang lebih berdaya saing dari segi harga, dan ia bergantung kepada rundingan timbal balik antara pihak terlibat. Dalam konteks ini, China jelas memperoleh kelebihan yang ketara.
Ditanya sama ada duti import bagi EV CBU dari China berpotensi diturunkan lagi daripada lima peratus, wakil MAA yang pakar dalam perdagangan menjelaskan perkara itu hampir mustahil. Tahap kerjasama seterusnya antara ASEAN dan China merangkumi pelbagai aspek, namun tidak melibatkan pengurangan tarif, memandangkan kadar sedia ada sudah rendah dan lebih baik berbanding rakan dagang lain.
Dari sudut harga jualan kepada pengguna, kesannya dijangka tidak terlalu besar. Memandangkan kebanyakan EV yang dijual di Malaysia berasal dari China, termasuk dua model Tesla yang dihasilkan di Gigafactory Shanghai, peningkatan harga dianggarkan sekitar 15 peratus. Angka ini dianggap sederhana, terutamanya jika dibandingkan dengan diskaun dan rebat besar yang sedang ditawarkan oleh beberapa jenama dalam perang harga EV yang masih berterusan.
Setakat ini, Tesla merupakan satu-satunya pengeluar yang telah mengumumkan harga EV CBU bagi tahun 2026, dengan mengesahkan harga runcit yang sama seperti tahun 2025 akan dikekalkan. Masih belum jelas sama ada Tesla menyerap kos duti baru tersebut atau menerima keistimewaan tertentu daripada kerajaan melalui program BEV Global Leaders di bawah MITI, di mana Tesla merupakan satu-satunya pengeluar yang terlibat. Sejak awal kemasukannya ke pasaran tempatan, Tesla juga menjual kenderaan CBU tanpa memerlukan permit import (AP) francais yang lazimnya diwajibkan.
Penamatan pengecualian duti sepenuhnya untuk EV CBU bertujuan menggalakkan pengeluar kenderaan menubuhkan operasi pemasangan tempatan di Malaysia. Namun, masih menjadi persoalan sama ada beban duti sekitar 15 peratus mencukupi untuk mempengaruhi keputusan pelaburan mereka, terutamanya apabila insentif bebas cukai bagi EV pemasangan tempatan atau CKD hanya berkuat kuasa sehingga penghujung 2027, iaitu kurang daripada dua tahun lagi.
Dalam keadaan ini, pengeluar mungkin memilih untuk menaikkan harga atau menyerap kos tambahan tersebut, yang dilihat lebih berkemungkinan, sambil menunggu perkembangan seterusnya. Mungkin juga di sinilah peranan dasar baru MITI yang menetapkan harga lantai minimum RM250,000 untuk EV import, namun isu itu wajar dibincangkan secara berasingan.
The post Cukai dan duti EV CBU diletakkan pada 30%+10%+10% atau 5%+10%+10%, bergantung kepada negara asal appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















