Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur telah menyita 58 kenderaan dalam pelaksanaan Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) baru-baru ini. Operasi berkenaan yang menyasarkan warga asing yang memandu tanpa lesen atau dokumen yang sah, dilaksanakan dari jam 9 pagi hingga 2 petang kelmarin di sekitar Wangsa Maju, Setapak dan Gombak, laporan Bernama.
“Mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan, termasuk memandu tanpa lesen dan perlindungan insurans. Ada yang cuba melarikan diri namun berjaya ditahan untuk tindakan lanjut. Hasil semakan mendapati kenderaan tersebut masih didaftarkan atas nama pemilik tempatan. Tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap mereka,” kata Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.
Individu yang terlibat terdiri daripada 15 warga Pakistan, 13 warga India, 11 warga Indonesia, 10 warga Bangladesh, lapan warga Myanmar dan seorang warga Palestin. Kebanyakan mereka terlibat dalam kerja pengumpulan besi buruk, manakala yang lain mengusahakan perniagaan kecil. Lima lori sampah juga disita, dan Hamidi turut mengeluarkan amaran keras kepada kontraktor yang melanggar peraturan kerana mengajikan warga asing sebagai pemandu lori sampah.
Semua kenderaan disita di bawah Seksyen 64(1), manakala saman dikeluarkan di bawah Seksyen 23(1), 23(2) dan 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Operasi PEWA secara keseluruhan menyaksikan 323 kenderaan diperiksa dan 283 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala jumlah sitaan kenderaan berkaitan PEWA menurun kepada 376 pada tahun lalu berbanding 586 pada tahun 2024.
The post JPJ KL sita 58 kenderaan dipandu warga asing yang tiada lesen memandu dan dokumen sah appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















