Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal menambah bilangan peranti kamera badan (BWC) sekitar 300 ke 500 unit tahun ini, laporan New Straits Times
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli, pihaknya sedang dalam proses memperoleh unit tambahan yang akan diagihkan ke semua pejabat negeri.
“Susulan pelaksanaan awal yang positif bermula pada Oktober tahun lalu, jabatan menganggarkan lebih 300 unit akan ditambah, dengan jumlah keseluruhan berkemungkinan mencecah 500 unit pada tahun ini. Kamera ini membantu memberi keyakinan kepada orang awam mengenai integriti pegawai di samping merakam semua pergerakan dan aktiviti anggota penguat kuasa, serta sebarang isu yang timbul di lapangan,” katanya.
Pelaksanaan awal penggunaan kamera badan untuk JPJ menyaksikan sebanyak 100 unit kamera badan diagihkan secara berperingkat kepada pejabat JPJ negeri, dengan keutamaan diberikan kepada pegawai di ibu pejabat yang kerap terlibat dalam operasi bersama dan berisiko tinggi.
Pada Januari tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata anggota JPJ akan dibekalkan kamera badan pada tahun 2025. Di mana penggunaan kamera badan bagi anggota JPJ di lapangan akan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan khususnya melibatkan kenderaan berat.
“Penggunaan kamera badan bukan sahaja melindungi imej dan integriti JPJ tetapi juga menjaga pegawai itu sendiri. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kadangkala pegawai kita menghadapi kritikan, penghinaan dan pelbagai tohmahan. Dengan kamera badan, pegawai JPJ dilindungi, kerana sebarang bukti semasa tindakan penguatkuasaan mereka boleh dirakam,” katanya.
The post JPJ bakal tambah 500 unit kamera badan tahun ini bagi jamin integriti pegawai di lapangan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















