Chery Malaysia telahpun memperkenalkan varian baru paling asas untuk SUV segmen-D tujuh-tempat duduk Chery Tiggo 8, dikenali hanya sebagai Chery Tiggo 8 dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM129,800. Jadi model ini ditawarkan dengan harga yang jauh lebih mampu milik berbanding dua varian lebih tinggi iaitu Chery Tiggo 8 Pro dan Chery Tiggo 8 PHEV di mana kedua-duanya dijual pada harga RM159,800.
Varian asas Tiggo 8 ini dijana hanya dengan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo yang sama seperti Tiggo 7, menghasilkan kuasa 197 PS dan tork maksima 290 yang digandingkan dengan kotak gear automatik klac berkembar tujuh kelajuan. Sebagai perbandingan Tiggo 8 Pro dijana oleh enjin 2.0 liter turbo berkuasa 256 hp/390 Nm, manakala Tiggo 8 PHEV pula diberikan enjin 1.5 liter turbo dengan bantuan motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 279 PS/365 Nm.
Ada beberapa kelengkapan luaran yang membolehkan Tiggo 8 ini dibezakan berbanding Tiggo 8 Pro. Pada bahagian muka, kedua-duanya nampak sama. Namun jika anda lihat dari belakang, varian asas ini tidak menerima jalur lampu yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang, sebaliknya digantikan dengan kemasan berwarna hitam, dan skrip ‘CHERY’ juga dialih ke sebelah atas.
Manakala pada bahagian bawah bampar boleh dilihat bahawa Tiggo 8 hanya menerima perumah tip ekzos tunggal pada bahagian kiri dan kanan, manakala pada Tiggo 8 Pro hadir dengan tip ekzos sebenar berbentuk oval serta berkembar yang keluar pada kedudukan yang sama. Model asas ini juga hanya diberikan rim aloi 18-inci dengan tayar 235/55R18 berbanding rim aloi 19-inci yang dibekalkan pada Tiggo 8 Pro.
Pada sebelah dalam, Tiggo 8 ini juga menampilkan papan pemuka yang berbeza berbanding Tiggo 8 Pro di mana skrin infotainmen 12.3-inci di tengah tidak bercantum dengan skrin 10.25-inci untuk paparan instrumen digital. Bentuk liang-liang penghembus udara untuk pendingin hawa juga direka berbeza.
Tiggo 8 ini turut diberikan satu lagi skrin untuk kawalan penghawa dingin dan ia bercantum dengan konsol tengah bersama tombol gear yang nampak serupa dengan konsol tengah Tiggo Cross yang lebih kecil.
Antara perincian lain yang turut dibekalkan pada varian asas ini termasuk sistem audio Sony dengan lapan-pembesar suara, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, cermin akustik dua lapisan, penghawa dingin automatik dua zon, bumbung suria kawalan elektrik dengan pelindung matahari, cermin pandang belakang auto-malap, lampu suasana kabin dan tempat duduk pemandu kawalan elektrik dengan fungsi memori.
Untuk keselamatan, Tiggo 8 asas ini masih menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi penuh, serta diberikan kamera pemantau 360-darjah. Hanya dua warna badan ditawarkan untuk Tiggo 8 paling murah ini iaitu Dark Black dan Khaki White.
Chery Malaysia memberikan waranti selama tujuh tahun atau 150,000 km serta waranti enjin selama 10-tahun atau sejuta km dengan setiap pembelian Tiggo 8 ini. Ia juga diberikan pakej servis percuma termasuk kos buruh dan alat ganti selama lima tahun serta Program Insuran Chery selama setahun.
Varian terbaharu untuk Chery Tiggo 8 ini hanya akan berada di bilik pameran Chery seluruh negara bermula 24 Januari ini.
The post Chery Tiggo 8 dilancarkan di Malaysia – varian paling asas, 1.6L Turbo 197 PS/290 Nm, RM129,800 OTR appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















































