Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) secara rasmi telah pun melancarkan Proton X50 facelift di Brunei, menjadikan negara tersebut pasaran pertama luar Malaysia yang menerima versi kemaskini terbaharu bagi SUV segmen-B berkenaan.
Di sana X50 facelift ditawarkan dalam tiga varian yang sama seperti Malaysia, bermula dengan varian asas Executive dijual pada harga B$27,499 (sekitar RM87k), diikuti varian Premium berharga B$31,500 (RM99k) dan varian Flagship berharga B$34,500 (RM109k). Proton turut menawarkan diskaun bernilai B$1,500 (RM4.7k) untuk 100 pelanggan terawal.
Setiap pembelian akan didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km serta enam kali servis buruh percuma.
Proton X50 facelift ini menerima rombakan rupa yang besar yang menampilkan rupa baharu sepenuhnya pada bahagian muka, belakang dan juga papan pemuka. Perubahan besar turut diberikan pada unit rangkaian kuasa di mana enjin 1.5L tiga-silinder turbo sebelum ini telah digantikan dengan enjin baharu i-GT 1.5 liter empat silinder turbo.
Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.
Di Brunei, X50 menyumbang 38% daripada jumlah jualan keseluruhan Proton, menjadikannya antara model SUV paling laris di pasaran tersebut, dakwa Proton. Untuk tahun ini PICSB mensasarkan untuk menjual sebanyak 1,000 unit kenderaan di Brunei, termasuk Proton Saga MC3 yang turut akan dilancarkan di sana tidak lama lagi.
“Brunei merupakan pasaran luar negara pertama yang memperkenalkan Proton X50 baharu, mencerminkan keyakinan Proton terhadap Brunei sebagai pasaran eksport serta kepercayaan terhadap kerjasama jangka panjang kami bersama PAD Motors. Ia juga menekankan peranan penting Brunei dalam perjalanan antarabangsa Proton. Dengan model seperti Proton X50, Proton berada pada kedudukan yang kukuh untuk mencapai sasaran eksport 2026 dan mempercepatkan usaha ke arah aspirasi jangka panjang syarikat untuk mencapai 330,000 unit menjelang 2030, dengan 30% disumbangkan oleh pasaran eksport,” kata Wan Wei, Naib Presiden PPICSB.
The post Proton X50 facelift dilancarkan di Brunei – bermula RM87k hingga RM109k, Saga MC3 selepas ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


















