Menerusi pengumuman prestasi 2025 yang diumumkan oleh Perodua semalam, pembuat automotif dari Rawang berkenaan turut memberitahu bahawa ia telah membeli komponen bernilai RM11 bilion dari vendor-vendor pembekalnya yang berada di Malaysia, secara tidak langsung memperkasakan syarikat-syarikat tempatan.
Perodua telah menghasilkan sebanyak 370,370 unit kenderaan menerusi kilangnya di Sg Choh, naik 0.6% berbanding 368,100 unit kenderaan yang dihasilkan pada 2024. Angka pembelian sebanyak RM11 bilion yang diumumkan tersebut dapat diperolehi dengan kebanyakkan model Perodua mempunyai sekitar 95% kandungan tempatan. Sebagai perbandingan, satu lagi jenama automotif tempatan iaitu Proton merekodkan pembelian komponen automotif bernilai RM3.2 bilion dari vendor-vendor tempatan.
“Dengan adanya sokongan kuat daripada rakyat Malaysia, keseluruhan ekosistem automotif di negara ini akan mendapat manfaat yang besar menerusi pembelian komponen bernilai RM11 bilion daripada vendor tempatan dan dalam masa yang sama memperkasakan usahawan tempatan seperti pengedar bertauliah dan stokis Perodua,” kata CEO dan presiden Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.
“Kami akan terus memainkan peranan sebagai pembina negara dengan terus mengembangkan perniagaan di sini, terutama sekali dalam industri kenderaan elektrik serta tawaran digital lain.
“Kami juga akan terus mengukuhkan kerjasama yang telah dimeterai, dan dalam masa yang sama mencari kerjasama baharu yang boleh memberi manfaat kepada industri tempatan dan negara,” tambahnya.
Apa yang disebut oleh Zainal diakui oleh Presiden Persatuan Pembekal Perodua Tuan Haji Musa Zahidin Ahmad Zaidi di mana peningkatan dalam pengeluaran dan pembelian komponen alat ganti mempunyai impak yang mendalam terhadap ahlinya.
“Pembelian tambahan dan komitmen berterusan dari Perodua telah membolehkan kami untuk terus melabur untuk operasi kami di masa hadapan. Ini bermakna, kami boleh mengembangkan tenaga kerja, menambahbaik perniagaan dan untuk sesetengah ahli kami, mengembangkan perniagaan ke luar negara,” kata Musa.
“Perodua telah memainkan peranan penting dalam membina rangkaian pengedaran yang kukuh dan dengan jumlah jualan yang terus meningkat, kami dapat terus mengembangkan perniagaan walaupun berhadapan dengan persaingan daripada jenama jenama baharu,” kata Presiden Persatuan Pengedar Perodua, Cik Rabitah Shamsudin pula.
“Bagi kami, Perodua mewakili jenama yang menjuarai operasi perniagaan tempatan dan berkongsi kejayaan industri dengan semua rakyat Malaysia – dan kami amat berterima kasih untuk itu,” tambah Rabitah.
The post Perodua beli RM11 bilion komponen dari vendor di Malaysia pada 2025, terus perkasa pembekal tempatan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















