Mercedes-Benz Malaysia hari ini mempertontonkan buat pertama kali model Mercedes-Benz CLA serba baru, yang akan dipamerkan dari 15-18 Januari 2026 di Stars@Mercedes-Benz Bangsar. Model yang ditunjukkan ini ialah Mercedes-Benz CLA 250+ dengan EQ Technology, yang turut mula dibuka untuk tempahan di Malaysia dengan harga anggaran RM295,888 (termasuk 10% cukai jualan) untuk Semenanjung Malaysia — harga atas jalan belum termasuk insuran.
Ini merupakan model CLA generasi ketiga dengan kod C178 yang mula diperkenalkan di pasaran global pada Mac 2025. Ia merupakan penawaran EV pertama bagi CLA, dan menggunakan sistem 800-volt yang membolehkan pengecasan pantas dengan kapasiti sehingga 320 kW — dalam tempoh 10 minit pengecasan, jarak yang boleh dicapai ialah 325 km. Ia mampu memberikan kadar penggunaan tenaga serendah 12.2 kWh dengan jarak perjalanan sehingga 792 km mengikut kitaran WLTP untuk satu cas penuh.

Untuk bateri, CLA250+, ia dilengkapi bateri nickel manganese cobalt (NMC) 85 kWh dan sebuah motor di belakang yang menghasilkan sebanyak 272 PS (200 kW) dan 335 Nm tork. Ini membolehkan CLA EV ini mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat dan laju maksimum 210 km/j.
Mercedes-Benz CLA serba baru ini juga menampilkan Mercedes-Benz Operating System (MB.OS) generasi baru yang lebih pintar. Sistem dengan bantuan AI ini membolehkannya dilengkapi dengan supercomputer yang disambungkan ke Mercedes-Benz Intelligent Cloud — yang membolehkan kemaskini over-the-air (OTA) untuk fungsi-fungsi penting kenderaan, termasuk sistem bantuan pemanduan untuk kali pertama — CLA ini akan sentiasa berada dalam kemaskini terkini.
Dengan MBUX Virtual Assistant, kereta ini datang dengan ciri ChatGPT4o dan pencarian dengan Microsoft Bing, serta Google Gemini akan bertindak sebagai pembantu maya
Dari segi dimensi ukuran, CLA serba baru ini mempunyai ukuran 4,723 mm panjang, 1,855 mm lebar, 1,468 mm dan tinggi dengan jarak roda 2,790 mm. Ini adalah 35 mm lebih panjang, 25 mm lebih lebar dan 29 mm lebih tinggi dan jarak roda 61 mm lebih panjang berbanding model C118 generasi kedua. Dan, oleh kerana ia EV, ruang barangan di belakang juga 55 liter lebih kecil, menjadi 405 liter — yang diganti dengan ruang barangan di depan seluas 101 liter.

Dari segi penampilan, CLA serba baru ini tampilkan imej sporty dan bertenaga dengan bahagian depan yang lebih panjang dan lengkuk roda yang lebih besar. Rekaan gril bentuk A dan wajah depannya khusus untuk EV: dengan panel 142 bintang LED krom yang bercahaya, yang pertama seumpamanya diberikan untuk model keluaran Mercedes-Benz setakat ini.
Ia juga lengkap dengan bumbung panoramik yang luas, diperbuat daripada satu kaca besar tanpa pembahagi di tengah — menjadikan bahagian kaca cerminnya seolah bersambung dari bahagian depan ke belakang dalam satu unit, dan memberikan penglihatan yang luas kepada penumpang di dalam kabin.
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) masih menunggu kadar duti akhir yang sebetulnya untuk EV CBU bermula tahun ini, dan harga yang dinyatakan itu mungkin akan berubah selepas mendapat kemaskini daripada kerajaan. Pelancarannya dijangka akan dilakukan pada suku kedua 2026.
The post Mercedes-Benz CLA 250+ 2026 ditunjuk di M’sia — EV C174, jarak 792 km, pengecasan 320 kW, RM296k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
































































































