Pemandu Volkswagen Jetta dengan nombor pendaftaran Singapura yang diubah untuk mengisi bahan api RON 95 di Johor – di mana videonya tular awal bulan ini – telah pun dikenakan tindakan apabila Mahkamah Majistret Kulai menjatuhkan hukuman denda RM9,000 terhadapnya pagi tadi, lapor Berita Harian.
Orang Kena Saman (OKS), Long Sa Kow, 64 yang merupakan pemegang status penduduk tetap (PR) Singapura, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret R Salini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Long didakwa sebagai pemandu Volkswagen Jetta berwarna perak bernombor pendaftaran SLJ 8967 M didakwa mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kenderaan itu. Perbuatan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam, kira-kira jam 10.30 malam, 2 Januari lalu itu.
Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Walau bagaimanapun Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli yang mewakili Long memohon hukuman denda yang minimum memandangkan dia seorang pesara dan tidak mempunyai pendapatan tetap, namun Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran.
Mahkamah kemudiannya menurunkan denda kepada hanya RM9,000 dan turut memerintahkan Long untuk dipenjara sembilan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Kes ini dikesan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerusi satu video yang tular di Facebook pada 4 Januari lalu, memaparkan sebuah Volkswagen Jetta berwarna perak bernombor pendaftaran LJ 8967 sedang mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Kulai.
Hasil siasatan mendapati, Long sebagai pemandu kenderaan yang sepatutnya bernombor pendaftaran SLJ 8967 M menutup huruf S dan M pada nombor pendaftaran itu bagi mengisi minyak subsidi RON95, dan ia diakui benar oleh Long sendiri.
The post Pemandu VW Jetta dengan nombor pendaftaran Singapura yang diubah untuk isi RON95 didenda RM9k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















