Rancangan untuk melaksanakan perkhidmatan teksi air di Pulau Pinang masih belum dapat direalisasikan berikutan aspek teknikal dan keselamatan yang perlu diatasi, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, walaupun sektor swasta telah menunjukkan minat terhadap perancangan untuk perkhidmatan teksi air tersebut, sebarang bentuk pengangkutan laut perlu melalui proses permohonan dan kelulusan yang ketat, melibatkan Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Jabatan Laut Malaysia (MMD).

“Walau apa jua mod pengangkutan, khususnya yang melibatkan laut, aspek keselamatan mesti diambil kira. Pertama, jabatan khusus seperti Jabatan Laut Malaysia, dan kedua, kelulusan teknikal daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang sekiranya memasuki perairannya.

“Perkhidmatan teksi air bukan sahaja melibatkan bot, tetapi juga jeti, maka perlu ada lokasi pendaratan di bawah bidang kuasa Jabatan Laut Malaysia, di mana aspek keselamatan dikawal selia dengan kerjasama kerajaan negeri kerana ia melibatkan tanah dan lain-lain perkara,” jelas Loke seperti dilaporkan Bernama.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seremban itu berkata kerajaan mengalu-alukan sebarang inisiatif daripada sektor swasta untuk melabur dan menubuhkan perkhidmatan teksi air di Pulau Pinang, selagi semua keperluan pelesenan dan keselamatan dipenuhi. Sebelum ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang bersetuju untuk membatalkan permintaan cadangan (request for proposal atau RFP) bagi perkhidmatan teksi air selepas syarikat terlibat gagal memenuhi surat niatnya untuk mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan daripada Kementerian Pengangkutan.

The post Teksi air Pulau Pinang tidak boleh direalisasikan ekoran aspek teknikal dan keselamatan – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts