Selepas beberapa bulan Modenas Z15GT dilancarkan untuk pasaran Malaysia, kini tersebar ura-ura akan keluar pula versi klac automatik (tanpa tuil klac tangan) menggunakan asas sama. Bagi mendapatkan kepastian, kami bertanya terus kepada ketua pegawai eksekutif Modenas, Roslan Roskan, berkenaan perkara ini semasa lawatan ke kilang Modenas di Gurun bersama wakil media dan rakan industri termasuk pemilik bengkel.
Roslan menjelaskan, memang Modenas mempunyai perancangan untuk mengeluarkan beberapa varian bagi Z15GT ini, dan yang sedang berada dalam proses pembangunan awal adalah versi klac automatik. Sasaran yang diletakkan adalah untuk memperkenalkannya kepada pasaran pada awal tahun hadapan.
Maklum balas yang diterima daripada wakil bahagian pembangunan dan penyelidikan pula mengatakan bahawa mereka masih membuat kajian pada seluruh sistem dan perlu mementukan sama ada ia akan menggunakan kotak gear empat kelajuan atau lima kelajuan.
Bahagian penting yang perlu ditukar sudah semestinya unit lengkap klac motosikal itu sendiri termasuk sistem automatiknya dan juga penutup luar, yang memerlukan acuan (mold) baru. Selepas bahagian-bahagian itu sudah ditetapkan, ia akan melalui pula proses ujian dan rujukan semula, yang biasanya akan mengambil masa agak lama.
Melalui pengenalan versi klac automatik ini, Z15GT dijangka dapat mendekati lebih ramai pengguna, terutamanya mereka yang mencari motosikal dengan pengendalian mudah untuk kegunaan harian. Dalam keadaan sekarang pun Z15GT sudah diterima baik, dengan negeri yang mencatat penjualan paling tinggi adalah di Selangor dan Kedah.
Z15GT dipacu enjin satu silinder penyejukan cecair, suntika bahan api, DOHC 149.5 cc dengan nisbah mampatan 12.6:1 dan mampu menghasilkan kuasa 6.8 hp pada 9,500 rpm dan tork 13.5 Nm pada 7,500 rpm.
The post Modenas Z15GT akan ada beberapa varian termasuk klac automatik, jangka lancar awal tahun depan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






































