Volvo telah membuat pengumuman panggilan semula terhadap model EX30 di seluruh dunia yang melibatkan risiko kebakaran pada bateri. Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini turut mengesahkan bahawa model-model EX30 pasaran Malaysia yang dijual antara 2024 dan 2025 dalam varian Single dan Twin Motor turut terlibat dalam panggilan semula ini.
Secara spesifiknya panggilan semula ini adalah melibatkan bateri nikel mangan kobalt (NMC) 69 kWj yang dibekalkan pada model-model berkenaan (dipadankan secara standard untuk EX30 di Malaysia) akan menjadi terlampau panas apabila di cas semula pada kadar tinggi, namun ia adalah sangat jarang untuk terjadi.
Dalam keadaan yang paling teruk, ia mungkin akan memulakan kebakaran pada bateri. Menurut Volvo kejadian yang sudah berlaku direkodkan dalam jumlah yang sangat sedikit, dan unit-unit yang telah dikenalpasti terjejas hanyalah 0.02% dari jumlah keseluruhan EX30 yang telah terjual. Volvo juga mengesahkan tiada laporan yang melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa dicatatkan setakat ini.
VCM menyatakan bahawa Volvo akan menjalankan panggilan semula ini secepat mungkin. Dalam masa yang sama jenama itu turut menasihatkan pemilik agar tidak mengecas bateri pada EX30 masing-masing pada kadar melebihi 70%. Had pengecasan tersebut boleh dibuat menerusi pelarasan Charging dalam menu pada skrin infotainmen.
Menurut laporan CnEVPost, panggilan semula ini dibuat selepas salah satu anak syarikat Geely iaitu Viridi E-Mobility Technology (Vremt) telah menyaman pembekal bateri berkenaan iaitu Sunwoda sebanyak 2.31 bilion yuan (RM1.34 bilion) kerana kerugian yang berpunca daripada sel bateri yang rosak diterima dari syarikat itu antara Jun 2021 dan Disember 2023. Vremt merupakan syarikat yang dikendalikan oleh oleh Zeekr dan membekalkan bateri kepada pelbagai model lain dalam kumpulan automotif berkenaan.
Volvo EX30 diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama dan menggunakan sistem mekanikal yang serupa dengan smart #1, smart #3 dan Zeekr X. Namun masih belum diketahui adakah panggilan semula ini turut akan melibatkan model-model tersebut.
The post Volvo EX30 dipanggil semula di seluruh dunia – ada risiko terbakar, model 2024-2025 di Malaysia terlibat appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















