Pada tahun 2020, pelajar-pelajar dari Nihon Automotive Technology School (NATS) datang ke Tokyo Auto Salon dengan NATS LS86 – iaitu sebuah Toyota Camry yang dibuat seolah-olah versi sedan untuk kereta sport Toyota 86 ZN6. Tahun ini pelajar NATS hadir dengan idea yang hampir sama, kali ini mereka menghasilkan Toyota Vellfire yang disumpah menjadi sedan mewah!
Sebenarnya Vellfire Sedan ini diasaskan dari Lexus LS460. Projek ini dimulakan dengan memotong bahagian muncung LS460 berkenaan, kemudian kerja-kerja ubahsuai dibuat bagi memuatkan lampu dan juga bampar hadapan Vellfire AH40 bagi menggantikan mukanya.
Oleh sebab muka Vellfire berkenaan lebih lebar, pelajar-pelajar NATS juga perlu melebarkan lagi fender LS460 berkenaan. Kerja-kerja yang hampir sama dibuat di belakang bagi mengantikan lampu belakang asal Lexus LS460 tersebut dengan lampu belakang Vellfire AH40.
Vellfire Sedan ini akhirnya dilayangkan cat badan berwarna hitam, kemudian dipadankan dengan rim dengan tema ‘VIP’ dari Work berdiameter 21-inci. Kemudian badannya dirapatkan ke permukaan tanah menerusi suspensi udara.
Tiada perubahan besar dibuat pada sebelah dalam kerana LS460 ini sememangnya sebuah sedan mewah pada asalnya. Pelajar-pelajar NATS membalut semula papan pemuka dengan material sued, manakala tempat duduk dibalut semula dengan kulit berwarna putih.
Cuma pada bahagian perehat tangan belakang ia diubah bagi menempatkan sebuah meja yang boleh diletakkam dua gelas minuman, bekas abu rokok kaca dan juga pewangi.
Projek-projek pelajar NATS ini lazimnya akan dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) setiap tahun dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.
Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.
The post NATS Vellfire Sedan berasaskan Lexus LS – imaginasi MPV jadi sedan mewah dizahirkan ke dunia nyata appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




























