Menurut perangkaan daripada JPJ, bagi tempoh sepanjang tahun 2025, BYD telah mendaftarkan paling banyak EV di Malaysia, sejumlah 14,407 unit. BYD mendahului jenama-jenama lain walaupun rata-rata mencatatkan peningkatan jualan pada Disember sebelum tempoh pengecualian cukai tamat bagi EV CBU.
Di tempat kedua ialah Proton, dengan eMas 7 menjadi penyumbang terbesar jualannya. eMas 5 turut menyumbang jumlah kecil daripada keseluruhan 8,890 unit, yang kurang 5,517 unit berbanding jualan BYD.
Di tempat ketiga adalah Tesla, yang mencatatkan 7,282 unit sepanjang 2025. Ini berbeza 1,708 unit kenderaan berbanding Proton yang berada di atasnya.
Tangga keempat pula dihuni oleh Zeekr, yang menyaksikan sebanyak 2,560 unit sepanjang 2025, dengan majoritinya disumbangkan oleh model 7X. Jenama itu mengatasi jenama China lain seperti Xpeng (kelima: 1,536 unit) dan Denza (ketujuh: 1,200 unit) — Denza bahkan hampir mengatasi BMW yang menduduki tempat keenam dengan 1,493 unit.
iCaur yang sedikit lewat masuk pasaran tetap menunjukkan angka yang baik, dengan menduduki tempat kelapan dengan 879 unit, walaupun hanya melancarkan model pertamanya, 03 pada September. 03 jadi penyumbang terbesar untuk itu, kerana model kedua V23 hanya dilancarkan pada November. Porsche pula berada di tangga kesembilan dengan 739 unit, walaupun angka ini mungkin termasuk sekali unit import persendirian. Tangga ke-10 jadi milik MINI dengan 672 unit.
Tempat ke-11 ada Chery dengan 658 unit, dan diikuti oleh MG dengan 624 unit di tempat ke-12. Mercedes-Benz menyusul di tangga ke-13 dengan 617 unit — selebihnya adalah jualan EV yang kurang daripada 600 unit. Di tempat ke-14 ada Volvo dengan 534 unit, sementara Leapmotor di tangga ke-15 dengan 516 unit.
Lima jenama terakhir adalah Great Wall Motor di tangga ke-16 dengan 446 unit, diikuti GWM dengan 414 unit di tangga ke-17. Dongfeng pula menduduki tempat ke-18 dengan 213 unit, diikuti Maxus dengan 175 unit dan Neta dengan 171 unit.
The post 20 jenama EV terlaris 2025 — BYD pertama dengan 14k unit, Proton bawah 9k, Tesla ketiga; Zeekr atasi Xpeng appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















