Selepas lebih dua tahun Toyota Vellfire generasi keempat dilancarkan di Malaysia, UMW Toyota hari ini melancarkan pula versi dengan unit rangkaian kuasa hibrid bagi MPV mewah tersebut. Ia ditawarkan dalam satu varian iaitu Toyota Vellfire Hybrid, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM549,900, dan ia merupakan model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun.
Jadi berbanding versi dengan enjin pembakaran dalaman penuh iaitu Toyota Vellfire 2.5L yang dijual pada harga RM448,000, versi hibrid ini adalah RM100,000k lebih mahal. Manakala berbanding kembarnya iaitu Alphard yang ditawarkan dalam varian 2.4T Executive Lounge, Vellfire Hybrid pasaran Malaysia ini masih RM2,000 lebih mahal.
Vellfire Hybrid ini sebenarnya telahpun dipamerkan di Malaysia secara rasmi oleh UMWT pada Februari 2024. Ia digerakkan oleh sistem hibrid siri-selari Toyota, menggandingkan enjin Dynamic Force A25A-FXS 2.5 liter empat-silinder NA berkuasa 187 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 233 Nm bermula 4,300 hingga 4,500 rpm, bersama motor elektrik 5NM berkuasa 182 PS dan tork maksima 270 Nm.
Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan sejumlah 250 PS (70 PS lebih berkuasa dari versi petrol penuh), dan kuasa tersebut dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT elektronik (E-CVT). Toyota menyatakan bahawa versi hibrid ini mampu mencapai penggunaan bahan api pada takat 5.7 liter/100 km, jauh lebih rendah dari versi petrol yang mencatatkan 9.1 liter/100 km.
Tidak kira unit rangkaian kuasa yang diberikan, kedua-dua Vellfire petrol dan hibrid pasaran Malaysia menampilkan rupa luaran yang serupa, termasuk lampu hadapan dan belakang LED serta diberikan rim 19-inci kemasan dua-tona yang sama.
Perbezaan lebih jelas dapat dilihat pada bahagian kabin di mana versi hibrid ini menerima kelengkapan lebih mewah seperti Alphard Executive Lounge termasuk paparan head-up dan upholsteri kulit Nappa kemasan Sunset Brown berbanding versi petrol yang diberikan balutan kulit sintetik berwarna hitam.
Ia juga menerima kelengkapan-kelengkapan lain termasuk papara instrumen dengan skrin 12.3-inci, sistem infotainmen dengan skrin 14-inci bersama kawalan penghawa dingin fizikal ala-Lexus, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem bunyi JBL dengan 15 pembesar suara serta pengecas telefon pintar tanpa wayar.
Kabin belakang Vellfire ini turut menerima tempat duduk belakang Executive Lounge yang sama seperti Alphard, di mana ia hadir dengan ottoman bina-dalam, diberikan fungsi pengurut, meja boleh lipat dengan cermin solek, fungsi pengalir pendingin hawa dan pemanas dan kesemua fungsi ini boleh dikawal menerusi panel kawalan digital yang nampak seperti telefon pintar.
Vellfire Hybrid ini juga diberikan skrin kabin belakang yang sama seperti Alphard bersaiz 14-inci yang boleh dilipat pada bahagian tengah bumbung, antara kedua-dua pelindung cahaya bagi bumbung panaromik. Perincian lain yang turut dibekalkan termasuk penghidup enjin jarak jauh, penghawa dingin empat-zon dengan penyegar udara Panasonic Nanoe X, tempat duduk dengan pengalir udara dan pemanas serta larasan kuasa lapan-hala untuk pemandu dan empat-hala untuk penumpang hadapan, kolum stereng larasan kuasa, pedal penukar gear, cermin pandang belakang digital, kamera 360 darjah, pintu tailgate bantuan kuasa serta filem penapis haba dan keselamatan untuk cermin tingkap.
Untuk keselamatan pula Vellfire Hybrid ini datang dengan fungsi penuh Toyota Safety Sense termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop go, bantuan kekal tengah lorong, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, lampu tinggi adaptif dan lain-lain. Ia juga datang dengan enam beg udara.
The post Toyota Vellfire Hybrid dilancar di Malaysia – RM550k, 250 PS, kelengkapan seperti Alphard Exec Lounge appeared first on Paul Tan’s Automotive News.









































