Selepas memulakan operasi rasmi minggu ini, Kia Sales Malaysia telah menunjukkan iklan teaser model pertama yang akan dilancarkan untuk pasaran tempatan. Melalui laman media sosial rasmi, syarikat itu memuat naik sebuah video menunjukkan apa yang kelihatan seperti MPV Carnival facelift.
MPV berkenaan yang kini dalam generasi keempat dan mula diperkenalkan di pasaran global pada Jun 2020, sebelum versi facelift-nya tiba pada Oktober 2023. Di Malaysia, Carnival generasi KA4 ini mula dijual pada Januari 2022, dalam versi 11-tempat duduk dan diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan.
Versi CKD-nya pula mula diperkenalkan pada Julai 2022, dalam versi tujuh atau lapan-tempat duduk. Versi 11-tempat duduk kekal menjadi model CBU dan hanya beralih kepada model CKD pada November 2023. Kemaskini terakhir yang diberikan untuknya adalah pada Februari 2024.

Kelainan yang membezakan Carnival dalam penampilan facelift yang terbaru ini boleh dilihat di bahagian DRL Star Map yang khusus seperti yang termuat dalam teaser berkenaan. Ini disertai juga dengan lampu utama LED menegak dan gril yang lebih besar, sementara di belakang diberikan lampu bentuk L terbalik dan perumah nombor plat yang lebih ke bawah.
Di dalam, rekaan papan pemuka kekal sama, dengan diberikan beberapa perubahan kecil. Ini termasuklah panel paparan skrin lebar bersambung yang memuatkan skrin sentuh 12.3-inci untuk infotainmen, dengan kluster instrumen digital 12.3-inci untuk varian yang lebih lengkap.
Suis kawalan audio dan pendingin juga telah disekalikan dalam satu panel sentuh seperti pada EV6. Ini membolehkan ruang simpanan lebih luas di bawah, dan tambahan jalur lampu ambient yang lebar sebagai tambahan di bawah corong pendingin.

Carnival di pasaran tempatan dikuasakan oleh enjin 2.2 liter Smartstream D2.2 turbodiesel empat-silinder, dan menjana sebanyak 202 PS (199 hp atau 149 kW) dan 440 Nm tork, yang disalurkan ke roda depan melalui transmisi automatik lapan-kelajuan.
Dalam pasaran yang sudah menerima versi facelift terkini itu seperti Singapura, Thailand dan Indonesia, beberapa pilihan janaan hibrid turut ditawarkan. Ini menggunakan enjin 1.6 liter turbocas empat-silinder petrol yang diganding bersama sebuah motor elektrik dan memberikan output keseluruhan sistem sebanyak 245 PS (242 hp atau 180 kW) dan 367 Nm. Adakah Malaysia juga akan menarima varian hibrid?
Kia Carnival 2024 di GIIAS
The post Kia Carnival 2026 <em>facelift</em> bakal dilancarkan di Malaysia — hanya janaan diesel atau akan ada hibrid juga? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.













































