Kurang dua tahun selepas dilancarkan di pasaran China, sedan elektrik Xiaomi SU7 kini diberi kemas kini menyeluruh yang memfokuskan kepada peningkatan prestasi, keselamatan dan teknologi. Model versi baru ini akan mula dijual secara rasmi pada April 2026 dan akan terus ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Pro dan Max.
Dari segi harga, tempahan awal bermula pada 229,900 yuan (sekitar RM134,000) untuk varian Standard. Varian Pro pula ditawarkan pada 259,900 yuan (RM151,000), manakala varian Max diletakkan pada harga 309,900 yuan (RM180,000). Meskipun spesifikasi penuh belum didedahkan, beberapa maklumat utama telah dikongsi menerusi akaun rasmi Weibo Xiaomi dan laporan CarNewsChina.
Antara perubahan paling besar adalah pada sistem elektrik kenderaan. Sebelum ini, varian Standard dan Pro menggunakan sistem 400 volt, manakala Max menggunakan sistem 871 volt. Sekarang, varian Standard dan Pro dinaik taraf kepada sistem 752 volt, sementara varian Max menerima peningkatan kecil kepada 897 volt.
Peningkatan ini membolehkan pengecasan pantas DC yang lebih cekap, dengan Xiaomi mendakwa jarak sehingga 670 km boleh dicapai dalam masa hanya 15 minit pengecasan, berbanding 510 km sebelum ini. Dari segi jarak pemanduan, varian Standard kini mampu mencapai sehingga 720 km, manakala Max menawarkan 835 km. Varian Pro kekal sebagai yang terbaik dengan jarak sehingga 902 km. Semua angka ini berdasarkan piawaian CLTC.
Untuk rangkaian kuasa, semua varian SU7 kini menggunakan motor elektrik baru ‘V6s Plus’, menggantikan unit ‘V6’ dan ‘V6s’ sebelum ini. Hasilnya, varian Standard dan Pro pacuan roda belakang kini menghasilkan 320 PS, meningkat daripada 299 PS. Varian Max pula kini menjana 690 PS, berbanding 673 PS sebelum ini. Selain itu, sistem suspensi udara dual-chamber dengan kawalan redaman berterusan (CDC) kini ditawarkan pada varian Pro dan Max – sebelum ini eksklusif untuk Max sahaja.
Dari sudut keselamatan dan struktur, badan kenderaan kini menggunakan keluli berkekuatan tinggi sehingga 2,200 MPa, berbanding 2,000 MPa sebelum ini. Jumlah beg udara turut ditingkatkan daripada tujuh kepada sembilan unit. Teknologi LiDAR kini menjadi ciri standard untuk semua varian, digandingkan dengan sistem ADAS baru berkeupayaan 700 TOPS serta sistem pemanduan autonomous Xiaomi HAD (Hyper Autonomous Driving).
Perubahan lain termasuk tayar belakang yang kini lebih lebar, iaitu 265 mm berbanding 245 mm sebelum ini, manakala tayar hadapan kekal 245 mm. Angkup brek hadapan empat omboh jenis tetap kini menjadi ciri standard, bersama rekaan gril hadapan yang dioptimumkan. Dari segi penampilan, warna baru Capri Blue diperkenalkan, manakala ruang dalaman menerima tema Dark Black baru dengan kemasan yang dipertingkatkan.
The post Xiaomi SU7 diberi peningkatan di China – lancar April ini, kuasa sehingga 690 PS, jarak gerak CLTC 902 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



























