Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah memeriksa sejumlah 1.2 juta kenderaan berat menerusi Operasi Lebih Muatan pada tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 240,493 kenderaan diambil tindakan, termasuk 465 kenderaan disita di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, kata Ketua Pengarah JPJ Dato’ Aedy Fadly bin Ramli.
Beliau berkata, pihaknya akan terus komited melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan di seluruh negara terhadap kenderaan perdagangan yang melanggar peraturan menerusi operasi berkenaan. Operasi ini, katanya, memberi tumpuan kepada kesalahan lebih muatan, penguatkuasaan teknikal serta pematuhan penggunaan Sistem Had Laju (SLD).
Aedy berkata, jumlah yang direkodkan pada tahun lalu juga telah meningkat sebanyak 35.5% berbanding tahun 2024 di mana sekitar 829,392 kenderaan diperiksa. Malah jumlah kenderaan yang diambil tindakan juga meningkat sebanyak 47.7% berbanding tahun 2024 (126,974 kenderaan), laporan Berita Harian.
“Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah gagal mematuhi Notis Arahan Pemeriksaan Berkala, tiada Lesen Vokasional, tidak menyelenggara tayar dengan baik, dan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL),” katanya pada sidang media Operasi Lebih Muatan dikawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah utara, malam tadi.
Tambahnya, pelaksanaan operasi ini turut disokong dengan Audit JISA (JPJ Inspection & Safety Audit) bagi menilai tahap pematuhan keselamatan, integriti operasi serta pengurusan risiko dalam kalangan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan.
“JPJ menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap pelanggaran undang-undang, dan tindakan penguatkuasaan di bawah Operasi Lebih Muatan akan terus diperkasa secara berterusan demi keselamatan jalan raya, kesejahteraan orang awam dan kelestarian sistem pengangkutan negara.
“Jadi saya ingin memberitahu kepada semua rakyat Malaysia dan juga pemilik kenderaan perdagangan bahawa Ops Lebih Muatan ini tidak berhenti pada tahun 2025. Ada yang mengatakan bahawa Ops Lebih Muatan yang dilaksanakan oleh JPJ hanya sehingga 31 Disember 2025, tetapi ingin saya tegaskan sekali lagi pada hari ini, kami mulakan Ops Lebih Muatan pada tahun 2026 ini dan ia akan diteruskan secara berkala, secara bersasar, dan kita tidak akan berhenti pada tahun ini,” katanya.
The post JPJ periksa 1.2j kenderaan perdagangan menerusi Op Lebih Muatan 2025, 240,493 daripadanya kena tindakan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




















